Semenjak bulan March 2008
sehinggalah sekarang semakin menjadi-jadi episod perjuangan yang kononnya
membela nasib-nasib orang-orang melayu melalui demonstrasi jalanan. Jika
diimbas kembali siri-siri demonstrasi yang telah dijalankan setakat ini, tiada
satu pun keuntungan atau hajat pejuang jalanan berkenaan direstui oleh pihak
Kerajaan Negeri. Disebalik aktiviti-aktiviti tersebut dirasakan hanya pihak
penganjur sahaja yang mendapat keuntungan peribadi sedangkan Pak Turut atau “Balaci”
yang meramaikan demonstrasi berkenaan hanya mendapat sedikit upah sahaja.
Apa yang amat mendukacitakan
adalah sikap penganjur ataupun “funder” dibelakang aktiviti tersebut
lebih gemar memilih hari Jumaat untuk berdemonstrasi, Sedangkan mereka juga
adalah orang melayu yang beragama Islam. Tidakkah mereka sedar atau sengaja
memilih hari Jumaat yang dijadikan hari suci orang Islam bagi melaksanakan
kerja-kerja haram tersebut? Mereka perlu sedar dengan meletakkan maruah
orang-orang melayu ditepi jalan dengan niat untuk menyatakan perasaan tidak
puas hati terhadap pemerintah itu adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun
dan dipandang hina oleh golongan bukan melayu. Persoalannya wajarkah pihak
pemerintah melayan karenah mereka ini yang menyampaikan masalah orang-orang
melayu Pulau Pinang secara gerakan fizikal jalanan? Dimanakah adat melayu yang selalunya
diselesaikan secara bermuzakarah? Situasi keatas demonstrasi jalanan timbul
adalah lebih mengarah kepada permainan politik yang ketandusan kuasa. Tidak
dapat dinafikan terdapat petualang dikalangan pemimpin melayu tidak kira
daripada UMNO ataupun Pakatan Rakyat dengan cara menggunakan kekuatan imuniti
mereka rela mempergunakan anak-anak muda melayu bagi mencapai realiti politik
pemimpin-pemimpin tertentu ini.
Terbaru umum mengetahui
bagaimana hari Jumaat sekali lagi diterjemahkan episod demonstrasi berkenaan
dan kali ini melibatkan lebih kurang 200 buah motorsikal yang tidak diketahui
dari mana datangnya penunggang-penunggang berkenaan telah membuat kacau dari
karangan KOMTAR hingga ke DEWAN UNDANGAN NEGERI kerana mendesak
pemerintah membina Litar Lumba untuk mereka dan yang lucunya pihak penganjur
sendiri tidak tahu lokasi yang hendak dipohon. Bayangkan hanya kerana memohon
litar lumba, anak-anak muda ini telah dipergunakan dan pihak KMPP percaya ada
diantara peserta tersebut tidak langsung mengetahui tujuan mereka
berdemonstrasi. Mungkin mereka lebih tertarik kepada imbuhan minimum yang
dijanjikan oleh penganjur. Dalam hal sedemikian siapa yang mengaut keuntungan,
Balaci atau Penganjur? Secara asasnya pihak KMPP yakin bahawa semakin banyak pesta
demonstrasi haram di Pulau Pinang maka ianya semakin meletakkan maruah
orang-orang melayu disini ketahap terendah dan sesungguhnya kebanyakkan melayu
disini yang hampir 640,000 orang ini tidak pernah bersetuju dengan cara
demonstrasi jalanan bagi menyelesaikan masalah mereka di negeri ini.
Dengan fenomena baru iaitu
berdemonstrasi dengan menggunakan motorsikal tanpa dilindungi insuran dan permit Polis. Justeru itu, adalah
dilihat sebagai nyawa pemuda melayu bukanlah keutamaan malah keuntungan politik
pihak-pihak tertentu adalah lebih diutamakan. Tidak dapat dinafikan sepanjang
peserta demonstrasi di negeri ini berlaku, dilihat seperti ada ruang
kelonggaran dari sudut undang-undang ketenteraman awam yang tidak diberi
perhatian oleh pihak PDRM. Jika ada ketegasan keatas demonstrasi ini yang tidak
mempunyai permit, pihak saya yakin perbuatan tersebut dapat dibendung.
Demonstrasi jalanan ini akan terus berlaku sehingga ke pilihanraya nanti dan
jika gejala ini tidak dibenteras mengikut lunas undang-undang yang sedia ada
adalah dikhuatiri ianya bakal memberi impak negatif kepada pelancong asing di
negeri ini.
Pihak KMPP juga hairan mengapa
tiada langsung pemimpin-pemimpin melayu disini mahupun NGO-NGO melayu
terutamanya PERKASA yang kononnya menunjangi masalah sosial ekonomi melayu
tampil memberi pandangan mereka serta nasihat supaya hari Jumaat tidak
digunakan sebagai hari memberontak serta apakah faedahnya yang melayu dapat
hasil daripada berdemonstrasi ditepi jalan. Berdiam diri dalam hal ini seakan
mereka bersekongkol dan rela melihat masyarakat melayu terus dipinggirkan.
Dalam negara yang demokrasi
ini, pihak saya yakin sesiapa saja yang menjadi pemerintah akan sudi mendengar
rintihan orang-orang melayu disini dengan cara yang munasabah dan bermuzakarah
tetapi dan bukannya dengan pemberontakan ditepi jalan, longkang dan sebagainya.
Orang melayu Pulau Pinang
sudah tiada masa untuk melayan pemimpin melayu dinegeri ini berpolitik. Mandat
yang diberikan menerusi pilihanraya adalah bagi melindungi mereka dan bukannya
menjanahamkan mereka. Akibat daripada kesan demonstrasi jalanan tersebut hanya
akan merugikan melayu Pulau Pinang. Perbuatan tersebut hendaklah dihentikan
demi anak bangsa kita. Jangan sampai nanti bangsa lain memandang hina kepada
orang-orang melayu.
Pemimpin-pemimpin melayu
harus sedar dalam mempertahankan hak-hak orang melayu sebenarnya mereka adalah
berperanan sebagai membantu sahaja. Jangan lupa kepada Perlembagaan Negara
kepada perkara 153 bahawa mempertahankan kuasa dan hak orang-orang melayu
adalah merupakan kuasa mutlak Yang Di Pertuan Agong yang tidak boleh
dipertikaikan walaupun di Parlimen. Kalaupun berhendakkan kuasa politik melalui
demonstrasi jalanan jangan sampai maruah melayu tergadai hingga boleh
menyebabkan keterlanjuran mereka boleh menyebabkan menderhaka kepada Yang Di
Pertuan Agong dan akhirnya merugikan orang-orang melayu itu sendiri.
Pada kesempatan ini pihak
KMPP dengan serius menyeru kepada Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti DAP
supaya tidak memandang ringan terhadap masalah ekonomi orang-orang melayu
disini. Jika kepentingan melayu yang dianggap minoriti berkenaan gagal diberi
perhatian, pihak saya yakin pihak pentadbiran Kerajaan Negeri akan menhadapi
tekanan emosi politik yang tidak menentu. Berikan perhatian yang serius keatas
apa jua memorandum yang telah dikemukakan jika ianya mampu dalam situasi yang
munasabah dapat meningkatkan soal politik dan sosial ekonomi orang-orang melayu
dinegeri ini.
Dalam konteks berkenaan
pihak KMPP dalam satu memorandum yang mengandungi lima (5) perkara yang kini
dalam penelitian Y.A.B Ketua Menteri telah mencadangkan diantaranya supaya
dapat diwujudkan Majlis Rundingan Ekonomi Melayu Pulau Pinang (MREMPP) sebagai
payung ekonomi orang-orang melayu dimana pengerusinya mestilah berstatus Exco
dan hanya dengan itu sahajalah semua permasalahan yang berbangkit khususnya
soal ekonomi orang melayu dapat dibawa terus ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.
Episod demonstrasi jalanan haram berkenaan berkemungkinan besar dapat dibendung
jika wujudnya Majlis Rundingan tersebut. Selama ini tidak ada saluran khusus
bagi mendengar serta melaksanakan dalam situasi yang munasabah agenda ekonomi
melayu Pulau Pinang. Cadangan pihak KMPP harus dilihat dari sudut positif serta
praktikal dalam situasi kritikal ini dan amat relevan dilaksanakan jika benar
Kerajaan Negeri begitu prihatin dalam menangani isu ekonomi orang-orang melayu
Pulau Pinang.