Rabu, 27 Julai 2011

KMPP MENDESAK KERAJAAN NEGERI PERJELASKAN ISU RUMAH MAMPU MILIK


Sepertimana dilaporkan oleh akhbar tempatan bertarikh 26/7/2011 dimana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang iaitu Datuk Zainal Abidin Osman bahawa Kerajaan Negeri tidak berlaku adil dalam meluluskan projek Perumahan mampu milik ini termasuk kos sederhana Rendah serta kos rendah yang dibangunkan oleh Agensi Kerajaan Pusat. Ini tambah merumitkan kerana setiap pembinaan rumah kos rendah dan sederhana tersebut di rujuk terlebih dahulu kepada One Stop Agency (OSA) sedangkan projek rumah mewah hanya perlu mendapat kelulusan PBT dan tidak perlu melalui OSA.

Beliau juga turut memberi kenyataan bahawa di atas suasana birokrasi maka mengakibatkan rakyat berbilang kaum di negeri ini terutamanya yang berpendapatan rendah menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri. Seterusnya dalam kenyataan tersebut beliau turut memaklumkan bahawa semenjak Kerajaan sekarang menerajui negeri ini tiada seunit pun rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah di bina.

Pihak KMPP amat memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Datuk Zainal Abidin Osman tersebut. Jika terbukti benar kenyataan beliau maka ianya merupakan satu penganiayaan oleh Kerajaan Negeri terhadap rakyat yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Apakah benar Kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah kos rendah dan sederhana Rendah untuk rakyat Negeri ini dan benarkah kerajaan negeri mula mempolitikkan setiap projek yang dimajukan oleh agensi Kerajaan Pusat. Apakah kenyataan tersebut juga merupakan satu jarum suntikkan untuk mengelirukan rakyat Negeri ini dan sejauh manakah pencapaian Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan tersebut.

Pihak saya lebih fokuskan kepada keadaan orang – orang Melayu dan kita takut jikalau suatu hari nanti orang Melayu hanya akan menjadi penyewa terhormat jika mereka gagal memiliki rumah mampu milik tersebut diatas situasi permainan politik murahan oleh pihak – pihak tertentu. Apakah kerajaan negeri begitu zalim kepada rakyat negeri ini yang berpendapatan sederhana kebawah dan mungkin juga mereka dizalimi permainan politik kotor oleh golongan terhormat.

Oleh yang demikian pihak KMPP mendesak kerajaan Negeri memberikan penjelasan yang terperinci terhadap kenyataan yang dibuat berkenaan terutamanya soal perumahan kos rendah dan sederhana rendah supaya rakyat dapat menilai serta memahami keadaan sebenar samada mereka ditindas atau sebaliknya. Kerajaan negeri harus bertanggungjawab jika benar seperti mana tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin UMNO berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan