Khamis, 6 Oktober 2011

ISU PELUPUSAN SAMPAH DI PULAU BURUNG

Pihak KMPP memandang serius tentang insiden yang berlaku akibat peresapan air larut lesap (Leachate) yang semakin kritikal meresap ke air laut akibat aktiviti pelupusan sampah di Pulau Pinang yang amat menyedihkan. Jika situasi tersebut berlarutan, punca pendapatan nelayan terutamanya dari golongan majoritinya orang-orang melayu Pulau Pinang akan terjejas.
Air larut lesap boleh didefinasikan sebagai cecair tertapis yang telah melalui pelbagai sisa pepejal dan mengandungi bahan sisa terlarut dan terampai. Ianya juga disebut sebagai kuras yang terbentuk apabila air hujan yang terkumpul dalam tambak tanah, lubang, kolam dan lagun telah bercampur dengan bahan-bahan sisa di tempat pelupusan sampah dalam suatu tempoh yang panjang dan telah terturas sebahagian daripada konstituen kimia serta biokimianya.
Air larut resap dari tapak perlupusan bahan sisa buangan pepejal lazimnya mengandungi logam berat, bahan organik yang terbentuk daripada pelbagai peringkat penguraian dan bahan bukan organik seperti ammonia, sulfat, kation logam.
Pihak kami difahamkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai, (MPSP) sudah menyenarai pendek kontraktor bagi mengendali tapak pelupusan sampah di Pulau Burong. Amatlah besar harapan kami dalam usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat serta slogan “Cekap, Akauntabiliti dan Telus” (CAT) dengan melantik kontraktor yang berwibawa dan cekap serta mempunyai pengalaman yang luas. Ini adalah kerana sampai hari ini,pihak kontraktor yang sedang beroperasi ini telah gagal menjaga dan merawat air sampah secara total.
Kami masih mendapat aduan daripada nelayan pantai yang kebanyakkan daripada mereka adalah orang-orang melayu dimana pencemaran air ini telah berlaku. Hasil pendapatan mereka ini semakin merosot dengan teruknya dan hasrat KMPP untuk melihat nasib orang-orang Melayu Pulau Pinang dari kumpulan nelayan pantai akan terbela hanya tinggal harapan sahaja.
Harapan kami pada Kerajaan Negeri  ialah memilih dan melantik kontraktor yang cekap dan berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan sampah terutama sekali merawat isu air larut lesap terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi pelupusan sampah. Pihak kontraktor perlu memastikan air larut lesap selamat dilepaskan ke persekitaran dimana kretiria berikut perlu dipenuhi iaitu:-
  1. Air larut lesap tidak mengandungi kepekatan bahan organik, bahan bukan organik seperti ammonia dan logam berat yang tinggi.
  2. Air larut lesap tersebut tidak akan bertoksik ke atas organisma di dalam ekosistem perairan di Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan