Rabu, 7 Disember 2011

MAMPUKAH UMNO TERUS MENERAJUI BARISAN NASIONAL DAN ORANG MELAYU


Umum mengetahui bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang kononnya buat kali ke - 62 telah selamat melabuhkan tirainya. Ini bermakna perhimpunan berkenaan adalah yang terakhir sebelum menjelangnya pilihanraya umum yang telah semakin hampir tempohnya. Di dalam kesemua ucapan pemimpin UMNO secara puratanya lebih menjurus kepada perjuangan hidup dan mati UMNO bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Begitulah intipati utama perhimpunan kali ini. Setelah lebih setengah dekad kewujudan parti UMNO, inilah kali pertama dalam sejarah para pemimpin UMNO menjadi pengemis atau lebih tepat lagi melukut di tepi gantang bagi tujuan meraih simpati serta sokongan dari rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan juga bumiputera. Pihak KMPP menilai situasi ini sebagai satu usaha menebus kesalahan lampau sehingga terjadinya musibah kehilangan kepercayaan dan sokongan daripada orang-orang Melayu khususnya terhadap kepimpinan parti UMNO terdahulu.
Persoalannya apakah ucapan-ucapan semasa sesi perhimpunan tersebut mampu membuatkan mentaliti orang-orang Melayu yang selama ini dalam dilema mampu kembali menyokong UMNO ataupun mereka masih fobia dengan rentak politik yang dipersembahkan oleh pemimpin UMNO. Memang tidak dapat dinafikan bahawa parti UMNO masih relevan kepada orang-orang Melayu cuma peratusan relevansi berkenaan masih menjadi tanda tanya misalnya kes NFC, selagi Datuk Seri Shahrizat tidak melepaskan jawatannya maka kecacatan kelas pertama telah terpalit dibahu parti UMNO. Tiada pilihan, beliau harus meletakkan jawatan.
Taat setia telah diikrarkan oleh lebih kurang 2,700 perwakilan bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional menang besar dalam pilihanraya umum nanti di mana pada pandangan pihak KMPP usaha ke arah tersebut adalah di atas dasar ‘urgency’ atau kesempitan masa di mana perlu ada pengorbanan yang jitu oleh semua pemimpin Barisan Nasional. Jangan hanya semangat berkobar-kobar oleh semua pemimpin serta perwakilan hanya semasa perhimpunan agung tersebut sahaja. Dikhuatiri akhirnya presiden UMNO seorang sahaja terpaksa menanggung keletihan dalam merealisasikan taat setia yang telah diikrarkan.
Banyak teguran dan ucapan yang berkualiti telah diberikan bagi tujuan mendapatkan kembali sokongan orang-orang Melayu dan bumiputera namun pihak KMPP merasa aneh sebab pada perhimpunan kali ini, soal rasuah politik serta perhimpunan haram menerusi demonstrasi jalanan yang kebiasaannya  diadakan pada hari Jumaat oleh NGO Melayu tidak disentuh langsung. Mungkin juga kerana keghairahan untuk menang besar pada pilihanraya nanti maka kedua-dua isu berkenaan sudah tidak relevan lagi kepada parti UMNO.
Transformasi demi transformasi diperkenalkan oleh presiden UMNO yang juga Perdana Menteri bagi tujuan memperkukuhkan parti UMNO dan Barisan Nasional. Dalam menyelam sambil minum air parti UMNO terus menghentam parti pembangkang ataupun Pakatan Rakyat terutamanya ikatan doremi diantara PKR, PAS dan DAP yang hubungannya telah mengelirukan rakyat sehingga mereka boleh memerintah di tiga buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan. Pihak KMPP menyokong penuh UMNO dalam mengkritik ikatan doremi berkenaan demi bagi mengembalikan sokongan kepada Barisan Nasional  terutamanya UMNO. Namun pada masa yang sama  adalah dikhuatiri akibat daripada hentaman serta kritikan dalam situasi ‘desperado’ tersebut mungkin akan menambahkan liabiliti sokongan rakyat terutamanya orang-orang Melayu terhadap parti pemerintah. Dalam situasi yang neutral mungkin juga akan terdapat kredit sokongan kepada parti pembangkang kesan daripada perhimpunan agung UMNO tersebut. Perasaan serta naluri insan tidak boleh dijadikan boneka di dalam urusan politik.
Pihak KMPP lebih fokus kepada senario politik serta ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang. Sebagai sebuah negeri yang begitu unik dari segi geo-politiknya sudah pasti hak-hak orang Melayu disini perlu diberikan perhatian oleh pemimpin-pemimpin UMNO negeri serta pusat. Namun amat mendukacitakan sekali apa yang berlaku semasa perhimpunan agung UMNO adalah sebaliknya. Tidak ada usaha ke arah tersebut. Wakil negeri Pulau Pinang yang berucap hanya lebih menyentuh kepada soal calon yang berpotensi sahaja. Tidak guna hanya mengenengahkan calon yang layak serta popular sahaja yang lebih penting adalah transformasi keatas ketua-ketua bahagian terlebih dahulu. Kalau ada yang berhormat dari kalangan orang muda tapi Ketua Bahagian masih golongan veteran yang sama maka bakal YB berkenaan dilihat seakan boneka piliharaan pihak – pihak tertentu sahaja.
Sepatutnya pemimpin UMNO negeri lebih fokus kepada masalah ekonomi Melayu disini. Kenapa membiarkan NGO-NGO Melayu yang mendapat kekebalan daripada pihak tertentu memperdagangkan serta memperalatkan Melayu bagi tujuan politik menerusi demonstrasi jalanan yang haram?. Pihak KMPP melihat senario tersebut bukanlah lagi menjadi agenda penting pemimpin-pemimpin politik Melayu disini. Malang sekali kerana mereka tidak menjadikan platform semasa perhimpunan agung UMNO bagi membuktikan bahawa pemimpin UMNO negeri Pulau Pinang benar-benar berhasrat untuk menghalang apajua perbuatan haram yang menyalahi undang-undang. Sepatutnya soal maruah orang Melayu adalah menjadi tunjang kepada perjuangan mereka. Janganlah kerana UMNO tidak berkuasa di negeri ini maka dibiarkan maruah Melayu tersungkur di tepi jalan. Ada terdapat beberapa kes yang menyebabkan soal ekonomi melayu diperlekehkan oleh pemimpin UMNO sendiri. Lihat kepada projek Bazar Perdana, Bandar Perda di Bukit Mertajam sebagai contoh dimana 85 peratus daripada lebih kurang 1000 unit bazaar berkenaan adalah pembeli Melayu. Kesengsaraan mereka semenjak tahun 2004 lagi masih belum diselesaikan. Bangunan Bazar tersebut yang sepatutnya menjadi lambang ekonomi orang Melayu dikawasan tanah besar kini kekal menjadi bangunan gajah putih. Inilah laibiliti yang ditinggalkan oleh pemimpin UMNO untuk dimanfaatkan oleh orang Melayu Pulau Pinang. Justeru itu, pihak KMPP sekali lagi mendesak kerajaan negeri masuk campur dalam membantu menyelesaikan kemelut Bazar Perdana tersebut.
Kongres Melayu Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada pihak kerajaan negeri tidak kira parti mana yang memerintah negeri ini demi bagi kepentingan orang-orang Melayu di sini dalam situasi yang munasabah. Pihak kami juga akan terus mengkritik secara membina dengan menggunakan minda bagi kepentingan orang-orang melayu terutamanya dan bukan Melayu amnya jika terdapat keperluan yang munasabah. Oleh yang demikian pihak KMPP menyeru kepada orang-orang Melayu Pulau Pinang supaya bangkit dari lamunan agar dapat membezakan diantara kaca dan permata. Begitu juga diantara realiti dan liabiliti menjelangnya pilihanraya umum nanti. Sesungguhnya kenyataan pihak kami ini lebih menjurus kepada kenyataan yang membina demi kesejahteraan anak bangsa kami sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan