Ahad, 19 Jun 2011

BAZAAR PERDANA - KMPP MEMOHON CAMPURTANGAN KETUA MENTERI PULAU PINANG UNTUK MEMBANTU PEMBELI –PEMBELI BERKENAAN


Isu Bazaar Perdana di bandar Perda, Bukit Mertajam adalah suatu isu yang amat serius dari segi ekonomi yang mana hampir 85% dari lebih kurang 900 Unit berkenaan adalah milik orang melayu. Pihak KMPP telah diminta oleh segelintir pembeli untuk membantu mereka dan satu kenyataan akhbar telah diatur seperti yang dilaporkan oleh Akhbar tempatan iaitu Sinar Harian, Metro dan Nanyang Siang Pau pada 17hb Jun 2011.

Pihak KMPP amat memandang serius ke atas permasalahan ini semenjak sijil penghunian diperolehi pada tahun 2004 hingga sekarang pemilik-pemilik Bazaar tersebut tidak dapat beroperasi untuk berniaga ini jelas menunjukkan kelalaian pihak pemaju Aseania Development Sdn Bhd yang sepatutnya bertanggung jawab terhadap pengurusan bangunan berkenaan tetapi telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Terdapat unit-unit tersebut telah dilelong oleh pihak bank.

Apa yang amat menyedihkan ialah kerana salah seorang Pengarah dan Pemilik Syarikat pemaju tersebut adalah seorang pemimpin kanan UMNO Negeri Pulau Pinang. Pembeli- pembeli yang terlibat merasakan bahawa pihak mereka telah ditipu oleh syarikat pemaju. Pihak mereka  telah hilang kepercayaan terhadap pemaju. Walau apa pun alasan yang diberikan pembeli tidak dapat menerimanya kerana masalah tersebut telah berlarutan lebih dari 7 tahun. Tambahan pula pelan asal diwujudkan Bazaar Perdana berkenaan adalah kerana pasar Bukit Mertajam serta perhentian bas sekarang akan di pindahkan ke Bandar Perda tapi malangnya pemaju telah menukar pelan pembangunan asal dengan membina pasaraya Jusco. Maka kekallah bangunan Bazaar Perdana ini sebagai gajah putih. Bazaar perdana tersebut sepatutnya menjadi lambang ekonomi orang – orang melayu di sebelah tanah besar.

Justeru itu, pihak KMPP memohon jasabaik kerajaan Negeri terutamanya Y.A.B Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng masuk campur dalam menangani masalah ini. Setidak-tidaknya dapat mencari formula terbaik bagi mengatasi isu ekonomi majoriti orang – orang melayu serta bukan melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan