Presiden KMPP Rahmad Isahak
tidak pernah mengatakan bahawa PERKASA tidak relevan kepada orang – orang
Melayu tetapi sebaliknya beliau mempersoalkan kredibiliti halatuju PERKASA dan
jangan sampai NGO Melayu tersebut dianggap sebagai liabiliti dan bukannya
realiti kepada orang-orang Melayu. Jangan selesa dalam senyap kerana mendapat
immuniti daripada pihak-pihak tertentu sehingga sanggup memperlekehkan
ahli-ahli mereka yang kononnya seramai 300,000 itu mampu menjadi penentu kepada
pilihanraya yang akan datang.
Perlu saya tegaskan disini
bahawa kenyataan Presiden KMPP adalah lebih menghala kepada kritikan membina
yang harus dipandang serius oleh pihak PERKASA. Pihak saya amat memahami
situasi PERKASA kerana mereka tidak pernah mengalami sebarang kritikan sebelum
ini apatah lagi daripada NGO Melayu.
Pihak saya meneliti kepada
kritikan dan cabaran dari PERKASA khususnya daripada kenyataan Setiausaha
Agungnya semalam bahawa KMPP suka menuding jari
untuk mencari kesalahan pihak PERKASA yang kononnya tidak relevan kepada
orang-orang Melayu. Tidak perlu menilai sejarah PERKASA semenjak penubuhannya
kerana memang tiada apa-apa keuntungan yang diperolehi oleh orang-orang Melayu khususnya
orang-orang Melayu Pulau Pinang. Memang tidak dapat dinafikan ramai Melayu telah
berhijrah keluar daripada negeri ini sebelum bulan March 2008 lagi. Selepas
tarikh tersebut dirasakan jumlah yang ingin kembali ke Pulau Pinang semakin
meningkat memandangkan kepada senario pembangunan yang begitu pesat.
Soal perumahan murah untuk
golongan sederhana kebawah adalah menjadi agenda terpenting pihak KMPP dimana
pihak kami telah mengemukakan satu memorandum yang mengandungi lima (5) perkara
kepada Ketua Menteri diantaranya mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat
menyediakan dana pinjaman tanpa faedah bagi tujuan bayaran 10% untuk
membolehkan golongan melayu yang berkelayakkan mempunyai rumah sendiri. Konsep
cadangan tersebut bukan sahaja menyenangkan melayu malah ianya dapat dinikmati
40% kepada golongan bukan melayu.
Perlu ditegaskan adalah sesuatu
yang amat malang sekali apabila pihak PERKASA gagal menilai kewujudan KMPP yang
secara sah telah didaftarkan pada 16/2/2011. Praktikkanlah mental terlebih dahulu
jangan dangkal fikiran hilang pedoman. Jika beginilah cara PERKASA
beroperasi, bagaimana mereka dapat membantu orang-orang Melayu? Jangan suka
melompat-lompat dalam membuat tafsiran keatas sesuatu semak dahulu baru buat
kenyataan. Pihak KMPP tidak pernah mengharapkan mana-mana pihak membantu kami
apatah lagi untuk kepentingan peribadi. Biarlah umum menilai prestasi KMPP
apabila sampai masanya nanti. Pihak PERKASA tidak perlu menjaga tepi kain orang
sebaliknya memberi fokus kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sering
melompat-lompat diatas pentas politik.
KMPP adalah badan NGO Melayu
yang setanding dan lebih hebat dari PERKASA kerana itulah KMPP berani menegur PERKASA pada
hari ini dan bukan kerana sebab lain atau siapa ada di belakang KMPP. Pihak
KMPP akan sentiasa NEUTRAL dalam perjalanannya sebagai sebuah NGO Melayu yang
prihatin terhadap masalah Melayu khususnya di Negeri Pulau Pinang.
Sebagai seorang Peguam di dalam
KMPP saya berpendapat jika benar seperti apa yang dikatakan oleh PERKASA bahawa
mereka berpegang dan berjuang mengikut Perkara 153 Perlembagaan
Malaysia maka seharusnya mereka memahami Perkara 153 Perlembagaan
Malaysia terlebih dahulu sebelum memulakan langkah ke arena politik. Perkara
153 Perlembagaaan Malaysia tidak langsung berkompromi hal–hal politik dan ianya
merupakan kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong bagi mempertahankan kuasa dan hak orang–orang
Melayu yang tidak boleh di pertikaikan walaupun di Parlimen. PERKASA
merasakan diri mereka adalah benteng orang–orang Melayu maka kembalilah ke
posisi mereka agar teguh tanpa di affiliate kan atau digunakan oleh mana–mana
parti politik yang ada kepentingan padanya. Harus juga mereka faham mereka
adalah sekadar membantu mempertahankan kuasa dan hak orang–orang Melayu dan
tanggungjawab mereka adalah besar dan jika GAGAL berbuat demikian sudah
tentulah seperti menderhaka kepada Yang di Pertuan Agong dan akan merugikan
orang–orang Melayu sendiri.
Kami anak-anak Melayu Pulau
Pinang sudah muak dan jemu kerana terlalu banyak pemimpin-pemimpin Melayu yang suka
bermain politik tanpa mengubah nasib orang – orang Melayu. Sudah sampai masanya
kesemua pemimpin-pemimpin melayu kurangkan masa bercakap tetapi melipat
gandakan usaha kearah membantu mempertingkatkan soal sosial ekonomi Melayu khususnya
di Pulau Pinang. Bagi PERKASA pula diharap badan NGO ini kembali ke pangkal
jalan dimana perlu menolong dan membantu menaikkan taraf sosial ekonomi
orang-orang Melayu dan bukannya berpolitik. Ini tidak menguntungkan orang-orang
melayu malah menimbulkan cemuhan kepada masyarakat melayu sekeliling dan mana
mungkin boleh kita menjadi role model jika kita ada sikap sebegini yang
ultranasionalis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan