Rabu, 9 November 2011

PESTA DEMONSTRASI HARAM – PERKARA 153 PERLEMBAGAAN DICABUL

Semenjak bulan March 2008 sehinggalah sekarang semakin menjadi-jadi episod perjuangan yang kononnya membela nasib-nasib orang-orang melayu melalui demonstrasi jalanan. Jika diimbas kembali siri-siri demonstrasi yang telah dijalankan setakat ini, tiada satu pun keuntungan atau hajat pejuang jalanan berkenaan direstui oleh pihak Kerajaan Negeri. Disebalik aktiviti-aktiviti tersebut dirasakan hanya pihak penganjur sahaja yang mendapat keuntungan peribadi sedangkan Pak Turut atau “Balaci” yang meramaikan demonstrasi berkenaan hanya mendapat sedikit upah sahaja.

Apa yang amat mendukacitakan adalah sikap penganjur ataupun “funder” dibelakang aktiviti tersebut lebih gemar memilih hari Jumaat untuk berdemonstrasi, Sedangkan mereka juga adalah orang melayu yang beragama Islam. Tidakkah mereka sedar atau sengaja memilih hari Jumaat yang dijadikan hari suci orang Islam bagi melaksanakan kerja-kerja haram tersebut? Mereka perlu sedar dengan meletakkan maruah orang-orang melayu ditepi jalan dengan niat untuk menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah itu adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun dan dipandang hina oleh golongan bukan melayu. Persoalannya wajarkah pihak pemerintah melayan karenah mereka ini yang menyampaikan masalah orang-orang melayu Pulau Pinang secara gerakan fizikal jalanan? Dimanakah adat melayu yang selalunya diselesaikan secara bermuzakarah? Situasi keatas demonstrasi jalanan timbul adalah lebih mengarah kepada permainan politik yang ketandusan kuasa. Tidak dapat dinafikan terdapat petualang dikalangan pemimpin melayu tidak kira daripada UMNO ataupun Pakatan Rakyat dengan cara menggunakan kekuatan imuniti mereka rela mempergunakan anak-anak muda melayu bagi mencapai realiti politik pemimpin-pemimpin tertentu ini.

Terbaru umum mengetahui bagaimana hari Jumaat sekali lagi diterjemahkan episod demonstrasi berkenaan dan kali ini melibatkan lebih kurang 200 buah motorsikal yang tidak diketahui dari mana datangnya penunggang-penunggang berkenaan telah membuat kacau dari karangan KOMTAR hingga ke DEWAN UNDANGAN NEGERI kerana mendesak pemerintah membina Litar Lumba untuk mereka dan yang lucunya pihak penganjur sendiri tidak tahu lokasi yang hendak dipohon. Bayangkan hanya kerana memohon litar lumba, anak-anak muda ini telah dipergunakan dan pihak KMPP percaya ada diantara peserta tersebut tidak langsung mengetahui tujuan mereka berdemonstrasi. Mungkin mereka lebih tertarik kepada imbuhan minimum yang dijanjikan oleh penganjur. Dalam hal sedemikian siapa yang mengaut keuntungan, Balaci atau Penganjur? Secara asasnya pihak KMPP yakin bahawa semakin banyak pesta demonstrasi haram di Pulau Pinang maka ianya semakin meletakkan maruah orang-orang melayu disini ketahap terendah dan sesungguhnya kebanyakkan melayu disini yang hampir 640,000 orang ini tidak pernah bersetuju dengan cara demonstrasi jalanan bagi menyelesaikan masalah mereka di negeri ini.

Dengan fenomena baru iaitu berdemonstrasi dengan menggunakan motorsikal tanpa dilindungi  insuran dan permit Polis. Justeru itu, adalah dilihat sebagai nyawa pemuda melayu bukanlah keutamaan malah keuntungan politik pihak-pihak tertentu adalah lebih diutamakan. Tidak dapat dinafikan sepanjang peserta demonstrasi di negeri ini berlaku, dilihat seperti ada ruang kelonggaran dari sudut undang-undang ketenteraman awam yang tidak diberi perhatian oleh pihak PDRM. Jika ada ketegasan keatas demonstrasi ini yang tidak mempunyai permit, pihak saya yakin perbuatan tersebut dapat dibendung. Demonstrasi jalanan ini akan terus berlaku sehingga ke pilihanraya nanti dan jika gejala ini tidak dibenteras mengikut lunas undang-undang yang sedia ada adalah dikhuatiri ianya bakal memberi impak negatif kepada pelancong asing di negeri ini.

Pihak KMPP juga hairan mengapa tiada langsung pemimpin-pemimpin melayu disini mahupun NGO-NGO melayu terutamanya PERKASA yang kononnya menunjangi masalah sosial ekonomi melayu tampil memberi pandangan mereka serta nasihat supaya hari Jumaat tidak digunakan sebagai hari memberontak serta apakah faedahnya yang melayu dapat hasil daripada berdemonstrasi ditepi jalan. Berdiam diri dalam hal ini seakan mereka bersekongkol dan rela melihat masyarakat melayu terus dipinggirkan.

Dalam negara yang demokrasi ini, pihak saya yakin sesiapa saja yang menjadi pemerintah akan sudi mendengar rintihan orang-orang melayu disini dengan cara yang munasabah dan bermuzakarah tetapi dan bukannya dengan pemberontakan ditepi jalan, longkang dan sebagainya.

Orang melayu Pulau Pinang sudah tiada masa untuk melayan pemimpin melayu dinegeri ini berpolitik. Mandat yang diberikan menerusi pilihanraya adalah bagi melindungi mereka dan bukannya menjanahamkan mereka. Akibat daripada kesan demonstrasi jalanan tersebut hanya akan merugikan melayu Pulau Pinang. Perbuatan tersebut hendaklah dihentikan demi anak bangsa kita. Jangan sampai nanti bangsa lain memandang hina kepada orang-orang melayu.

Pemimpin-pemimpin melayu harus sedar dalam mempertahankan hak-hak orang melayu sebenarnya mereka adalah berperanan sebagai membantu sahaja. Jangan lupa kepada Perlembagaan Negara kepada perkara 153 bahawa mempertahankan kuasa dan hak orang-orang melayu adalah merupakan kuasa mutlak Yang Di Pertuan Agong yang tidak boleh dipertikaikan walaupun di Parlimen. Kalaupun berhendakkan kuasa politik melalui demonstrasi jalanan jangan sampai maruah melayu tergadai hingga boleh menyebabkan keterlanjuran mereka boleh menyebabkan menderhaka kepada Yang Di Pertuan Agong dan akhirnya merugikan orang-orang melayu itu sendiri.

Pada kesempatan ini pihak KMPP dengan serius menyeru kepada Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti DAP supaya tidak memandang ringan terhadap masalah ekonomi orang-orang melayu disini. Jika kepentingan melayu yang dianggap minoriti berkenaan gagal diberi perhatian, pihak saya yakin pihak pentadbiran Kerajaan Negeri akan menhadapi tekanan emosi politik yang tidak menentu. Berikan perhatian yang serius keatas apa jua memorandum yang telah dikemukakan jika ianya mampu dalam situasi yang munasabah dapat meningkatkan soal politik dan sosial ekonomi orang-orang melayu dinegeri ini.

Dalam konteks berkenaan pihak KMPP dalam satu memorandum yang mengandungi lima (5) perkara yang kini dalam penelitian Y.A.B Ketua Menteri telah mencadangkan diantaranya supaya dapat diwujudkan Majlis Rundingan Ekonomi Melayu Pulau Pinang (MREMPP) sebagai payung ekonomi orang-orang melayu dimana pengerusinya mestilah berstatus Exco dan hanya dengan itu sahajalah semua permasalahan yang berbangkit khususnya soal ekonomi orang melayu dapat dibawa terus ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Episod demonstrasi jalanan haram berkenaan berkemungkinan besar dapat dibendung jika wujudnya Majlis Rundingan tersebut. Selama ini tidak ada saluran khusus bagi mendengar serta melaksanakan dalam situasi yang munasabah agenda ekonomi melayu Pulau Pinang. Cadangan pihak KMPP harus dilihat dari sudut positif serta praktikal dalam situasi kritikal ini dan amat relevan dilaksanakan jika benar Kerajaan Negeri begitu prihatin dalam menangani isu ekonomi orang-orang melayu Pulau Pinang.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan