Kontraversial
ke atas isu tapak masjid dan tapak sekolah di Bayan Mutiara telah mengamit kepada
persoalan bagaimana untuk mendapatkan kebenaran yang sahih. KMPP menilai
situasi tuduhan-tuduhan berkenaan yang dibangkitkan oleh pihak UMNO menerusi
ketua pemudanya lebih cenderung kepada persoalan undang-undang serta peraturan
pembangunan di negeri ini. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab hingga
menyebabkan kedua-dua plot tanah berkenaan dijual oleh kerajaan negeri kepada
pihak pemaju. Adakah tuduhan pihak UMNO benar-benar ikhlas demi kepentingan
agama atau bagi mencari keuntungan politik dengan meracuni fikiran orang-orang melayu
Pulau Pinang supaya membenci kerajaan negeri. Begitu juga kepada kerajaan
negeri dimana tanah-tanah tersebut telah dijual dalam keadaan mempunyai
pengetahuan bahawa kedua-dua plot tanah tersebut adalah kebal disisi
undang-undang. Maka KMPP berhasrat memberikan sedikit rentetan peristiwa bagi
dijadikan asas dalam mencari kebenaran.
1.
PELAN PERANCANGAN YANG DILULUSKAN PADA 30/6/2006
Sesungguhnya pelan perancangan
yang telah diluluskan inilah merupakan subjek utama dalam kemelut isu
berkenaan. Memang terdapat plot tapak masjid dan tapak sekolah dalam cadangan
pembangunan yang diluluskan dalam fasa 1 di Bayan Mutiara sewaktu kerajaan
Barisan Nasional memerintah dahulu dimana UMNO adalah sebahagian dari kerajaan
memerintah. Memang tiada nombor lot kerana tanah berkenaan adalah berstatus
tanah tebus guna dan diletakhak dibawah Kerajaan Negeri (BN) ketika itu. Di
dalam pelan perancangan berkenaan terdapat 13 komponen dari jenis pembangunan
bercampur atau “mixed development project”. Syarat bagi mendapatkan sijil
menduduki (CF) adalah diwajibkan supaya pihak pemaju terlebih dahulu
mendapatkan kelulusan hak milik tanah berasingan (Qualified Title) dari pihak
Berkuasa Negeri. Persoalan sekarang apakah pelan perancang berkenaan masih sah atau
telah lupus dari segi pelan pembangunan dibawah akta perancang bandar dan desa
1976?
Oleh kerana salah satu
komponennya yang dikenali sebagai D’ RESIDENCE telah dibina dan telah
memperolehi sijil penghunian pada bulan Julai 2010 maka pelan berkenaan adalah
masih sah hayatnya ketika tanah tersebut dijual serta plot-plot lain
terutamanya plot tapak masjid seluas 2.4 ekar dan plot tapak sekolah seluas
6 ekar adalah terpakai dan kebal disisi undang-undang serta tidak boleh
disentuh. Hanya yang membezakan status kedua-dua plot tapak tersebut adalah
kerana belum ada hak milik berasingan yang dikeluarkan.
Inilah persoalan yang timbul
bagaimana semenjak tarikh kelulusan pelan perancangan fasa 1 iaitu pada 30 Jun
2006 hingga sekarang tiada sebarang usaha dibuat untuk mendapatkan hak milik
tanah bagi membolehkan dua plot tanah berkenaan dipindah milik kepada MAIP dan
Kementerian Pelajaran (melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan).
2.
PIHAK MANA YANG MENDATANGKAN LIABILITI
Dalam mengutarakan kenyataan
dalam isu berkenaan maka KMPP bebas bersuara diatas landasan NGO dan bukannya
parti politik dimana pihak KMPP lebih menjurus kepada soal mencari kebenaran
menerusi undang-undang dan peraturan-peraturan pembangunan dinegeri ini.
Kerajaan Barisan Nasional yang
memulakan cadangan pembangunan di Bayan Mutiara menerusi PDC Properties adalah
tuan tanah dan juga pemaju. Keseluruhan tanah berkenaan adalah milik anak
syarikat Kerajaan Negeri sendiri. Walau apapun dokumen sah yang dikeluarkan
bersangkutan dengan hak milik berasingan (Qualified Title) bebanan adalah
terletak dibahu Kerajaan terdahulu kerana telah gagal memberikan keutamaan
supaya kedua-dua plot tanah tersebut dipindahmilik terlebih dahulu. Tarikh 30
Jun 2006 hingga 8 March 2008 terdapat jangkamasa lebih kurang 20 bulan
dan 8 hari ataupun lebih tepat lagi 1 tahun 8 bulan dan 8 hari
sebelum tsunami melanda bagi Pakatan Rakyat mengambilalih Kerajaan dinegeri
ini, mengapakah tiada usaha langsung diambil kearah maksud pindahmilik dibuat? Agak
tidak keterlaluan jika pihak kami katakan bahawa pihak PDC Properties dengan
izin Kerajaan Negeri ketika itu lebih mementingkan pembangunan D’ Residence daripada menyelamatkan
tapak masjid terutamanya. Mereka amat yakin untuk menjadi Kerajaan Negeri
selama-lamanya. Lihatlah apa sudah terjadi sekarang dan sesungguhnya kuasa Allah
S.W.T telah menentukan segala-galanya. Perlu diingat bahawa Parti UMNO adalah
sebahagian daripada Kerajaan barisan Nasional terdahulu maka mereka jugalah
bertanggungjawab kerana gagal serta lalai memindah milik tapak masjid dan
sekolah tersebut sehingga menyebabkan tanah-tanah berkenaan telah dijual kepada
pihak pemaju.
Satu lagi keraguan yang
munasabah timbul mengapa baru sekarang isu terpenting ini dibangkitkan oleh
pihak UMNO setelah tanah Bayan Mutiara berkenaan telah disempurnakan
penjualannya oleh pihak Kerajaan Negeri? Bukankah mantan Ketua Menteri dan
Mantan Timbalan Ketua Menteri serta bekas Exco Kerajaan Negeri dalam Barisan
Nasional dahulu yang masih lagi hidup sudah ada pengetahuan dalam isu berkenaan
dan mengapa tidak mendapatkan satu perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi
untuk menghalang Kerajaan Negeri sekarang menjual khususnya melibatkan tapak
masjid dan tapak sekolah tersebut? Jika senario tersebut berlaku, sudah pasti
pada hari ini saudara Ketua Pemuda UMNO Negeri tidak menjadi bahan cacian serta
dipandang serong oleh rakyat khususnya orang melayu dinegeri ini.
Kesimpulannya adalah munasabah
dan tanpa prasangka dikatakan bahawa
pihak UMNO Negeri adalah juga bersubahat dalam melenyapkan tapak masjid dan
tapak sekolah di Bayan Mutiara tersebut. Satu lubang besar telah dikorek bagi
menempatkan diri mereka sendiri.
Secara neutralnya dan tanpa
prasangka KMPP berpandangan bahawa dalam isu yang melibatkan soal agama Islam
dan pendidikan berkenaan bebanan adalah juga ditangan pihak Kerajaan Negeri. Soal
bagaimana kedua-dua plot tanah tersebut dijual sedangkan terbukti bahawa pelan
perancangan fasa 1 berkenaan masih sah dan plot tapak masjid serta sekolah berkenaan
adalah kebal disisi undang-undang. Memang ada liabiliti keatas tanah
tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa pihak kerajaan berkuasa sepenuhnya dalam
soal pentadbiran tanah negeri dimana Y.A.B Ketua Menteri adalah Exco Tanah. Dalam
isu ini, pihak Kerajaan Negeri adalah terlibat secara kesinambungan daripada
pembangunan yang diilhamkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu. Soal adakah
penjualan tanah Bayan Mutiara tersebut dibuat tanpa mengambilkira atau terlepas
pandang atau terkhilaf dari sudut undang-undang masih merupakan satu jawapan
yang dinantikan oleh rakyat khususnya umat Islam dinegeri ini.
Timbul persoalan apakah segala
nasihat daripada pihak Kerajaan Tempatan serta agensi kerajaan yang lain telah
mengakibatkan Kerajaan Negeri sekarang ini berada didalam dilema? Atau adakah
Kerajaan Negeri terasa tertipu serta ada unsur-unsur sabotaj hasil daripada
nasihat teknikal yang telah diberikan tersebut. Terlajak perbuatan dari segi
tindakan tambahan pula melibatkan sebuah Kerajaan Negeri adalah satu fanomena
dimana rakyat akan menilai situasi tersebut.
Agak begitu mengecewakan sekali
dalam isu tapak masjid ini mengapakah hanya Ketua Menteri harus memberikan
kenyataannya sedangkan ada 2 pemimpin melayu yang beragama Islam di dalam
Kerajaan Negeri iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 dan Exco Agama Islam. Mengapakah
mereka membisu? Sepatutnya merekalah orang pertama yang wajar mengeluarkan
kenyataan bagi pihak Kerajaan Negeri. Jika benar segala tuduhan tersebut adalah
fitnah. Tidak mengapalah sudah nasib orang melayu dinegeri ini mempunyai
pemimpin sedemikian. Semoga mereka dapat mengekalkan jawatan mereka selepas
PRU13 nanti.
3.
KERAJAAN NEGERI DAN UMNO PERLU MEMOHON MAAF
Dipihak UMNO mereka
bermati-matian mempertahankan tapak masjid dan tapak sekolah berkenaan serta
menuduh seratus peratus (100%) Kerajaan Negeri yang bersalah. Namun tempoh bagi
1 tahun 8 bulan 8 hari tersebut disembunyikan daripada rakyat
terutamanya umat Islam dinegeri ini.
Pihak Kerajaan Negeri setakat
ini masih belum ada permohonan maaf dibuat diatas kesalahan teknikal atau terkhilaf
samada secara sedar atau tidak hingga menyebabkan kedua-dua plot tanah
berkenaan dijual. Hakikatnya dalam soal ini pihak UMNO juga harus terlebih
dahulu memohon maaf bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional dahulu, kerana
merekalah yang telah mengilhamkan pembangunan fasa 1 di Bayan Mutiara.
Bertanggungjawablah demi umat Islam disini dan jangan meletakkan propaganda
politik sebagai keutamaan daripada kepentingan agama sendiri. Sebagai manusia
biasa kita tidak pernah sunyi daripada membuat kesilapan.
4.
PELAN PERANCANGAN BARU BAYAN MUTIARA
Nasi sudah menjadi bubur. Tapak
masjid dan tapak sekolah perlu dikembalikan di Bayan Mutiara menerusi pelan
pembangunan baru oleh pihak pemaju. Umum mengetahui adalah menjadi amalan biasa
didalam setiap pemajuan akan ada kehendak daripada Jabatan Teknikal yang harus
dipatuhi. Difahamkan pembangunan baru di Bayan Mutiara adalah lebih kepada
mewujudkan sebuah bandar bertaraf antarabangsa dimana kepadatan (density)
melebihi 1000 unit. Ini bermakna bahawa sebuah tapak masjid dan tapak sekolah
adalah menjadi perkara wajib dan terpakai. Justeru itu, ianya menjawab segala pertuduhan
yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri. Adalah diharapkan pihak pemaju akan
memberi keutamaan untuk memindah milik kedua-dua plot tanah berkenaan supaya
pisang tidak berbuah dua kali.
Sebagai bahan rujukan bagi membezakan
polisi pembangunan dimana sewaktu Barisan Nasional memerintah dahulu, kita
dapati tiada tapak rumah ibadat disediakan. Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang
mewajibkan setiap pembangunan yang munasabah harus disediakan tapak rumah
ibadat bagi kegunaan bukan Islam. Mungkin polisi tersebut adalah bagi
mengimbangi kesaksamaan semua kaum. Namum tapak masjid bagi orang-orang Islam
adalah satu keutamaan yang tidak boleh dinafikan.
5. TUDUHAN TANAH WAKAF DILETAKKAN DIBAWAH CHIEF MINISTER
INCOPERATED (CMI)
Tuduhan yang amat serius ini
telah mendatangkan kemarahan daripada umat Islam terutamanya di Pulau Pinang. Apakah
benar semua tanah wakaf masjid dan surau tidak diwakafkan kepada MAIP
sebaliknya diletakkan dibawah CMI. Tuduhan juga mengatakan bahawa status tanah
wakaf adalah sama taraf dengan tapak rumah ibadat yang diatas tanah wakaf juga
boleh didirikan kuil, gereja dan tokong? Apakah kesemua tuduhan ini adalah
benar? Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Menteri untuk menjawabnya secara
rasmi. Umat Islam disini akan bangkit jika benar sepertimana tuduhan pihak UMNO
tersebut.
Justeru itu, jika
tuduhan-tuduhan pihak UMNO adalah fitnah semata-mata bagi meraih sokongan
politik disamping bertujuan meracuni fikiran orang-orang melayu dinegeri ini,
maka UMNO akan ditimpa malapetaka sokongan daripada orang-orang melayu sendiri
pada PRU13 nanti. KMPP dengan ini menuntut saudara Ketua Menteri memberikan
kenyataan rasmi keatas tuduhan tersebut.
6.
CADANGAN BERDEBAT OLEH KMPP
Berasaskan tuduhan-tuduhan yang
melibatkan soal agama Islamlah maka bagi merungkai kebenaran melalui persoalan
undang-undang dan peraturan pembangunan pihak kami (KMPP) yang terlalu kerdil
ini telah mencabar saudara Ketua Pemuda UMNO Negeri untuk berdebat dengan
Presiden KMPP sendiri. Walaubagaimanapun ianya telah ditolak secara ego oleh
beliau dengan membezakan kekuatan keahlian dengan KMPP. Mengapa KMPP yang
kerdil sanggup berdebat dengan beliau yang kononnya ada puluhan ribu ahli dan
situasi berkenaan akan membuatkan rakyat terutamanya melayu disini berfikir
secara logik.
KMPP hanya menggunakan minda
disamping anugerah daripada ilahi melalui pengalaman dan pengetahuan dalam mencari
kebenaran yang munasabah. Perlu diingatkan bahawa KMPP ada Peguam dan Jurutera
Civil serta ahli-ahli perniagaan professional yang mampu menggegarkan pentas
politik dinegeri ini terutamanya parti-parti politik melayu. Pihak KMPP amat
berterima kasih kepada salah satu blog UMNO yang telah mempamirkan
dokumen-dokumen penting melalui internet. Itupun setelah KMPP mengkritik hebat
pihak UMNO secara psycology keatas isu tapak masjid di Bayan Mutiara. Akhirnya
blog UMNO tersebut telah melondeh dokumen yang amat penting dan tidak boleh
dicabar jika kes berkenaan diseret ke mahkamah. Kepintaran mereka akhirnya
telah menggali lubang sendiri.
Walaupun pihak KMPP dilabel
sebagai anjing DAP dengan mendapat habuan lumayan sehingga sanggup menidakkan
kebenaran dalam isu berkenaan, maka pada hari ini KMPP dengan rasmi ingin
memaklumkan bahawa usaha kami selama ini adalah dengan menggunakan minda yang
dikurniakan Allah S.W.T dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik apatah
lagi dengan DAP. saya sendiri tidak pernah duduk dan berbincang walau satu ayat
sekalipun dengan Ketua Menteri dan seterusnya pihak kami tidak pernah makan
hasil belanja daripada DAP walaupun secawan teh O. Satu lagi fitnah yang
diwujudkan oleh blog UMNO.
Oleh yang demikian, pihak KMPP
yang kerdil ini akan terus mengkritik secara membina tidak kira Kerajaan Negeri
ataupun Kerajaan Pusat dari sudut politik dan ekonomi bagi pihak orang-orang
melayu Pulau Pinang yang kini telah mencecah hampir 640,000 orang. Perlu diingat
bahawa kedudukan melayu dinegeri ini adalah penyumbang kedua terbesar dan bukan
lagi boleh dianggap sebagai golongan minoriti.
Hakikat terpenting ialah
orang-orang melayu di Pulau Pinang perlu mempunyai kekuatan politik di dalam
Kerajaan Negeri tidak kira parti mana yang memerintah selepas PRU13 nanti. Tanpa
keperluan serta kekuatan politik jangan bercakap soal ekonomi. Justeru itu
seandainya, jika Pakatan Rakyat masih berkuasa selepas ini di Pulau Pinang maka
rakyat tidak mahu lagi scenario yang dilabel sebagai meminggirkan melayu disini
masih berulang lagi. Umum bersetuju bahawa tempoh sulung selama 4 tahun pertama
berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran. Tempoh tersebut lebih menjurus kepada
soal implementasi pentadbiran keatas kesinambungan 42 tahun daripada
pemerintahan daripada Kerajaan dahulu.
Perlu diingatkan sehingga saat
ini, saya dan rakan-rakan dalam KMPP bukanlah ahli parti DAP malah kami adalah
ahli UMNO lebih daripada 20 tahun akan tetapi tak pernah bayar yuran keahlian. Namun
diatas permainan politik yang dianggap “notorious” ini oleh pihak UMNO
berkemungkinan angin perubahan pasti akan berlaku menjelangnya PRU13. Apakah
maksudnya, sama-samalah kita tunggu.......
7.
UMAT ISLAM MESTI BERSATU
Apapun kesimpulannya, kedua-dua
pihak UMNO dan Kerajaan Negeri ada liabiliti dalam isu tapak masjid dan isu
tapak sekolah berkenaan. Namun tetap ada jalan penyelesaian yang rasional dan
munasabah. Tapak masjid untuk orang Islam dinegeri ini akan tetap wujud dan
begitu juga tapak sekolah untuk rakyat Pulau Pinang juga akan wujud di Bayan
Mutiara. Tiada pihak yang boleh mendabik dada dalam isu berkenaan. Pihak
Kerajaan Negeri akan mempastikan tanggungjawab mereka kepada rakyat negeri ini.
Umat Islan di Pulau Pinang
disarankan supaya tidak menggunakan fizikal sebaliknya mempraktikkan revolusi
minda bagi menangani insiden hitam tersebut dari terus berpanjangan. Tolaklah sama
sekali propaganda politik demi bagi kesejahteraan kaum dan terpenting sekali
orang-orang melayu Pulau Pinang perlu lebih erat bersatu demi masa depan anak
cucu kita dan generasi yang akan datang. Mandat adalah ditangan kita. Pemimpin politik
adalah bertindak sebagai konduktor semata-mata. Dalam negara yang berpaksikan
demokrasi ini, sesebuah kerajaan adalah terbentuk hasil daripada mandat yang
diberikan oleh rakyat. Oleh yang demikian gunakanlah minda bagi tujuan
memberikan mandat yang baru menjelang PRU13 nanti.
Sekian, terima kasih.
RAHMAD ISAHAK
PRESIDEN, (019-4728509)