Khamis, 12 April 2012

TAPAK MASJID DAN SEKOLAH BAYAN MUTIARA – UMNO / KERAJAAN NEGERI TURUT BERSALAH

Kontraversial ke atas isu tapak masjid dan tapak sekolah di Bayan Mutiara telah mengamit kepada persoalan bagaimana untuk mendapatkan kebenaran yang sahih. KMPP menilai situasi tuduhan-tuduhan berkenaan yang dibangkitkan oleh pihak UMNO menerusi ketua pemudanya lebih cenderung kepada persoalan undang-undang serta peraturan pembangunan di negeri ini. Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab hingga menyebabkan kedua-dua plot tanah berkenaan dijual oleh kerajaan negeri kepada pihak pemaju. Adakah tuduhan pihak UMNO benar-benar ikhlas demi kepentingan agama atau bagi mencari keuntungan politik dengan meracuni fikiran orang-orang melayu Pulau Pinang supaya membenci kerajaan negeri. Begitu juga kepada kerajaan negeri dimana tanah-tanah tersebut telah dijual dalam keadaan mempunyai pengetahuan bahawa kedua-dua plot tanah tersebut adalah kebal disisi undang-undang. Maka KMPP berhasrat memberikan sedikit rentetan peristiwa bagi dijadikan asas dalam mencari kebenaran.

1.      PELAN PERANCANGAN YANG DILULUSKAN PADA 30/6/2006

 Sesungguhnya pelan perancangan yang telah diluluskan inilah merupakan subjek utama dalam kemelut isu berkenaan. Memang terdapat plot tapak masjid dan tapak sekolah dalam cadangan pembangunan yang diluluskan dalam fasa 1 di Bayan Mutiara sewaktu kerajaan Barisan Nasional memerintah dahulu dimana UMNO adalah sebahagian dari kerajaan memerintah. Memang tiada nombor lot kerana tanah berkenaan adalah berstatus tanah tebus guna dan diletakhak dibawah Kerajaan Negeri (BN) ketika itu. Di dalam pelan perancangan berkenaan terdapat 13 komponen dari jenis pembangunan bercampur atau “mixed development project”. Syarat bagi mendapatkan sijil menduduki (CF) adalah diwajibkan supaya pihak pemaju terlebih dahulu mendapatkan kelulusan hak milik tanah berasingan (Qualified Title) dari pihak Berkuasa Negeri. Persoalan sekarang apakah pelan perancang berkenaan masih sah atau telah lupus dari segi pelan pembangunan dibawah akta perancang bandar dan desa 1976?

Oleh kerana salah satu komponennya yang dikenali sebagai D’ RESIDENCE telah dibina dan telah memperolehi sijil penghunian pada bulan Julai 2010 maka pelan berkenaan adalah masih sah hayatnya ketika tanah tersebut dijual serta plot-plot lain terutamanya plot tapak masjid seluas 2.4 ekar dan plot tapak sekolah seluas 6 ekar adalah terpakai dan kebal disisi undang-undang serta tidak boleh disentuh. Hanya yang membezakan status kedua-dua plot tapak tersebut adalah kerana belum ada hak milik berasingan yang dikeluarkan.

Inilah persoalan yang timbul bagaimana semenjak tarikh kelulusan pelan perancangan fasa 1 iaitu pada 30 Jun 2006 hingga sekarang tiada sebarang usaha dibuat untuk mendapatkan hak milik tanah bagi membolehkan dua plot tanah berkenaan dipindah milik kepada MAIP dan Kementerian Pelajaran (melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan).

2.      PIHAK MANA YANG MENDATANGKAN LIABILITI

Dalam mengutarakan kenyataan dalam isu berkenaan maka KMPP bebas bersuara diatas landasan NGO dan bukannya parti politik dimana pihak KMPP lebih menjurus kepada soal mencari kebenaran menerusi undang-undang dan peraturan-peraturan pembangunan dinegeri ini.

Kerajaan Barisan Nasional yang memulakan cadangan pembangunan di Bayan Mutiara menerusi PDC Properties adalah tuan tanah dan juga pemaju. Keseluruhan tanah berkenaan adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri sendiri. Walau apapun dokumen sah yang dikeluarkan bersangkutan dengan hak milik berasingan (Qualified Title) bebanan adalah terletak dibahu Kerajaan terdahulu kerana telah gagal memberikan keutamaan supaya kedua-dua plot tanah tersebut dipindahmilik terlebih dahulu. Tarikh 30 Jun 2006 hingga 8 March 2008 terdapat jangkamasa lebih kurang 20 bulan dan 8 hari ataupun lebih tepat lagi 1 tahun 8 bulan dan 8 hari sebelum tsunami melanda bagi Pakatan Rakyat mengambilalih Kerajaan dinegeri ini, mengapakah tiada usaha langsung diambil kearah maksud pindahmilik dibuat? Agak tidak keterlaluan jika pihak kami katakan bahawa pihak PDC Properties dengan izin Kerajaan Negeri ketika itu lebih mementingkan pembangunan D’ Residence daripada menyelamatkan tapak masjid terutamanya. Mereka amat yakin untuk menjadi Kerajaan Negeri selama-lamanya. Lihatlah apa sudah terjadi sekarang dan sesungguhnya kuasa Allah S.W.T telah menentukan segala-galanya. Perlu diingat bahawa Parti UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan barisan Nasional terdahulu maka mereka jugalah bertanggungjawab kerana gagal serta lalai memindah milik tapak masjid dan sekolah tersebut sehingga menyebabkan tanah-tanah berkenaan telah dijual kepada pihak pemaju.

Satu lagi keraguan yang munasabah timbul mengapa baru sekarang isu terpenting ini dibangkitkan oleh pihak UMNO setelah tanah Bayan Mutiara berkenaan telah disempurnakan penjualannya oleh pihak Kerajaan Negeri? Bukankah mantan Ketua Menteri dan Mantan Timbalan Ketua Menteri serta bekas Exco Kerajaan Negeri dalam Barisan Nasional dahulu yang masih lagi hidup sudah ada pengetahuan dalam isu berkenaan dan mengapa tidak mendapatkan satu perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Kerajaan Negeri sekarang menjual khususnya melibatkan tapak masjid dan tapak sekolah tersebut? Jika senario tersebut berlaku, sudah pasti pada hari ini saudara Ketua Pemuda UMNO Negeri tidak menjadi bahan cacian serta dipandang serong oleh rakyat khususnya orang melayu dinegeri ini.

Kesimpulannya adalah munasabah dan tanpa  prasangka dikatakan bahawa pihak UMNO Negeri adalah juga bersubahat dalam melenyapkan tapak masjid dan tapak sekolah di Bayan Mutiara tersebut. Satu lubang besar telah dikorek bagi menempatkan diri mereka sendiri.

Secara neutralnya dan tanpa prasangka KMPP berpandangan bahawa dalam isu yang melibatkan soal agama Islam dan pendidikan berkenaan bebanan adalah juga ditangan pihak Kerajaan Negeri. Soal bagaimana kedua-dua plot tanah tersebut dijual sedangkan terbukti bahawa pelan perancangan fasa 1 berkenaan masih sah dan plot tapak masjid serta sekolah berkenaan adalah kebal disisi undang-undang. Memang ada liabiliti keatas tanah tersebut. Tidak dapat dinafikan bahawa pihak kerajaan berkuasa sepenuhnya dalam soal pentadbiran tanah negeri dimana Y.A.B Ketua Menteri adalah Exco Tanah. Dalam isu ini, pihak Kerajaan Negeri adalah terlibat secara kesinambungan daripada pembangunan yang diilhamkan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu. Soal adakah penjualan tanah Bayan Mutiara tersebut dibuat tanpa mengambilkira atau terlepas pandang atau terkhilaf dari sudut undang-undang masih merupakan satu jawapan yang dinantikan oleh rakyat khususnya umat Islam dinegeri ini.

Timbul persoalan apakah segala nasihat daripada pihak Kerajaan Tempatan serta agensi kerajaan yang lain telah mengakibatkan Kerajaan Negeri sekarang ini berada didalam dilema? Atau adakah Kerajaan Negeri terasa tertipu serta ada unsur-unsur sabotaj hasil daripada nasihat teknikal yang telah diberikan tersebut. Terlajak perbuatan dari segi tindakan tambahan pula melibatkan sebuah Kerajaan Negeri adalah satu fanomena dimana rakyat akan menilai situasi tersebut.  

Agak begitu mengecewakan sekali dalam isu tapak masjid ini mengapakah hanya Ketua Menteri harus memberikan kenyataannya sedangkan ada 2 pemimpin melayu yang beragama Islam di dalam Kerajaan Negeri iaitu Timbalan Ketua Menteri 1 dan Exco Agama Islam. Mengapakah mereka membisu? Sepatutnya merekalah orang pertama yang wajar mengeluarkan kenyataan bagi pihak Kerajaan Negeri. Jika benar segala tuduhan tersebut adalah fitnah. Tidak mengapalah sudah nasib orang melayu dinegeri ini mempunyai pemimpin sedemikian. Semoga mereka dapat mengekalkan jawatan mereka selepas PRU13 nanti.

3.      KERAJAAN NEGERI DAN UMNO PERLU MEMOHON MAAF

Dipihak UMNO mereka bermati-matian mempertahankan tapak masjid dan tapak sekolah berkenaan serta menuduh seratus peratus (100%) Kerajaan Negeri yang bersalah. Namun tempoh bagi 1 tahun 8 bulan 8 hari tersebut disembunyikan daripada rakyat terutamanya umat Islam dinegeri ini.

Pihak Kerajaan Negeri setakat ini masih belum ada permohonan maaf dibuat diatas kesalahan teknikal atau terkhilaf samada secara sedar atau tidak hingga menyebabkan kedua-dua plot tanah berkenaan dijual. Hakikatnya dalam soal ini pihak UMNO juga harus terlebih dahulu memohon maaf bagi pihak Kerajaan Barisan Nasional dahulu, kerana merekalah yang telah mengilhamkan pembangunan fasa 1 di Bayan Mutiara. Bertanggungjawablah demi umat Islam disini dan jangan meletakkan propaganda politik sebagai keutamaan daripada kepentingan agama sendiri. Sebagai manusia biasa kita tidak pernah sunyi daripada membuat kesilapan.

4.      PELAN PERANCANGAN BARU BAYAN MUTIARA

Nasi sudah menjadi bubur. Tapak masjid dan tapak sekolah perlu dikembalikan di Bayan Mutiara menerusi pelan pembangunan baru oleh pihak pemaju. Umum mengetahui adalah menjadi amalan biasa didalam setiap pemajuan akan ada kehendak daripada Jabatan Teknikal yang harus dipatuhi. Difahamkan pembangunan baru di Bayan Mutiara adalah lebih kepada mewujudkan sebuah bandar bertaraf antarabangsa dimana kepadatan (density) melebihi 1000 unit. Ini bermakna bahawa sebuah tapak masjid dan tapak sekolah adalah menjadi perkara wajib dan terpakai. Justeru itu, ianya menjawab segala pertuduhan yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri. Adalah diharapkan pihak pemaju akan memberi keutamaan untuk memindah milik kedua-dua plot tanah berkenaan supaya pisang tidak berbuah dua kali.

Sebagai bahan rujukan bagi membezakan polisi pembangunan dimana sewaktu Barisan Nasional memerintah dahulu, kita dapati tiada tapak rumah ibadat disediakan. Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang mewajibkan setiap pembangunan yang munasabah harus disediakan tapak rumah ibadat bagi kegunaan bukan Islam. Mungkin polisi tersebut adalah bagi mengimbangi kesaksamaan semua kaum. Namum tapak masjid bagi orang-orang Islam adalah satu keutamaan yang tidak boleh dinafikan.

5.    TUDUHAN TANAH WAKAF DILETAKKAN DIBAWAH CHIEF MINISTER INCOPERATED (CMI)

Tuduhan yang amat serius ini telah mendatangkan kemarahan daripada umat Islam terutamanya di Pulau Pinang. Apakah benar semua tanah wakaf masjid dan surau tidak diwakafkan kepada MAIP sebaliknya diletakkan dibawah CMI. Tuduhan juga mengatakan bahawa status tanah wakaf adalah sama taraf dengan tapak rumah ibadat yang diatas tanah wakaf juga boleh didirikan kuil, gereja dan tokong? Apakah kesemua tuduhan ini adalah benar? Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Menteri untuk menjawabnya secara rasmi. Umat Islam disini akan bangkit jika benar sepertimana tuduhan pihak UMNO tersebut.

Justeru itu, jika tuduhan-tuduhan pihak UMNO adalah fitnah semata-mata bagi meraih sokongan politik disamping bertujuan meracuni fikiran orang-orang melayu dinegeri ini, maka UMNO akan ditimpa malapetaka sokongan daripada orang-orang melayu sendiri pada PRU13 nanti. KMPP dengan ini menuntut saudara Ketua Menteri memberikan kenyataan rasmi keatas tuduhan tersebut.  

6.      CADANGAN BERDEBAT OLEH KMPP

Berasaskan tuduhan-tuduhan yang melibatkan soal agama Islamlah maka bagi merungkai kebenaran melalui persoalan undang-undang dan peraturan pembangunan pihak kami (KMPP) yang terlalu kerdil ini telah mencabar saudara Ketua Pemuda UMNO Negeri untuk berdebat dengan Presiden KMPP sendiri. Walaubagaimanapun ianya telah ditolak secara ego oleh beliau dengan membezakan kekuatan keahlian dengan KMPP. Mengapa KMPP yang kerdil sanggup berdebat dengan beliau yang kononnya ada puluhan ribu ahli dan situasi berkenaan akan membuatkan rakyat terutamanya melayu disini berfikir secara logik.

KMPP hanya menggunakan minda disamping anugerah daripada ilahi melalui pengalaman dan pengetahuan dalam mencari kebenaran yang munasabah. Perlu diingatkan bahawa KMPP ada Peguam dan Jurutera Civil serta ahli-ahli perniagaan professional yang mampu menggegarkan pentas politik dinegeri ini terutamanya parti-parti politik melayu. Pihak KMPP amat berterima kasih kepada salah satu blog UMNO yang telah mempamirkan dokumen-dokumen penting melalui internet. Itupun setelah KMPP mengkritik hebat pihak UMNO secara psycology keatas isu tapak masjid di Bayan Mutiara. Akhirnya blog UMNO tersebut telah melondeh dokumen yang amat penting dan tidak boleh dicabar jika kes berkenaan diseret ke mahkamah. Kepintaran mereka akhirnya telah menggali lubang sendiri.

Walaupun pihak KMPP dilabel sebagai anjing DAP dengan mendapat habuan lumayan sehingga sanggup menidakkan kebenaran dalam isu berkenaan, maka pada hari ini KMPP dengan rasmi ingin memaklumkan bahawa usaha kami selama ini adalah dengan menggunakan minda yang dikurniakan Allah S.W.T dan tiada kaitan dengan mana-mana parti politik apatah lagi dengan DAP. saya sendiri tidak pernah duduk dan berbincang walau satu ayat sekalipun dengan Ketua Menteri dan seterusnya pihak kami tidak pernah makan hasil belanja daripada DAP walaupun secawan teh O. Satu lagi fitnah yang diwujudkan oleh blog UMNO.

Oleh yang demikian, pihak KMPP yang kerdil ini akan terus mengkritik secara membina tidak kira Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Pusat dari sudut politik dan ekonomi bagi pihak orang-orang melayu Pulau Pinang yang kini telah mencecah hampir 640,000 orang. Perlu diingat bahawa kedudukan melayu dinegeri ini adalah penyumbang kedua terbesar dan bukan lagi boleh dianggap sebagai golongan minoriti.

Hakikat terpenting ialah orang-orang melayu di Pulau Pinang perlu mempunyai kekuatan politik di dalam Kerajaan Negeri tidak kira parti mana yang memerintah selepas PRU13 nanti. Tanpa keperluan serta kekuatan politik jangan bercakap soal ekonomi. Justeru itu seandainya, jika Pakatan Rakyat masih berkuasa selepas ini di Pulau Pinang maka rakyat tidak mahu lagi scenario yang dilabel sebagai meminggirkan melayu disini masih berulang lagi. Umum bersetuju bahawa tempoh sulung selama 4 tahun pertama berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran. Tempoh tersebut lebih menjurus kepada soal implementasi pentadbiran keatas kesinambungan 42 tahun daripada pemerintahan daripada Kerajaan dahulu.

Perlu diingatkan sehingga saat ini, saya dan rakan-rakan dalam KMPP bukanlah ahli parti DAP malah kami adalah ahli UMNO lebih daripada 20 tahun akan tetapi tak pernah bayar yuran keahlian. Namun diatas permainan politik yang dianggap “notorious” ini oleh pihak UMNO berkemungkinan angin perubahan pasti akan berlaku menjelangnya PRU13. Apakah maksudnya, sama-samalah kita tunggu.......      

7.      UMAT ISLAM MESTI BERSATU

Apapun kesimpulannya, kedua-dua pihak UMNO dan Kerajaan Negeri ada liabiliti dalam isu tapak masjid dan isu tapak sekolah berkenaan. Namun tetap ada jalan penyelesaian yang rasional dan munasabah. Tapak masjid untuk orang Islam dinegeri ini akan tetap wujud dan begitu juga tapak sekolah untuk rakyat Pulau Pinang juga akan wujud di Bayan Mutiara. Tiada pihak yang boleh mendabik dada dalam isu berkenaan. Pihak Kerajaan Negeri akan mempastikan tanggungjawab mereka kepada rakyat negeri ini.

Umat Islan di Pulau Pinang disarankan supaya tidak menggunakan fizikal sebaliknya mempraktikkan revolusi minda bagi menangani insiden hitam tersebut dari terus berpanjangan. Tolaklah sama sekali propaganda politik demi bagi kesejahteraan kaum dan terpenting sekali orang-orang melayu Pulau Pinang perlu lebih erat bersatu demi masa depan anak cucu kita dan generasi yang akan datang. Mandat adalah ditangan kita. Pemimpin politik adalah bertindak sebagai konduktor semata-mata. Dalam negara yang berpaksikan demokrasi ini, sesebuah kerajaan adalah terbentuk hasil daripada mandat yang diberikan oleh rakyat. Oleh yang demikian gunakanlah minda bagi tujuan memberikan mandat yang baru menjelang PRU13 nanti.

Sekian, terima kasih.

RAHMAD ISAHAK
PRESIDEN, (019-4728509)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan