Rabu, 8 Jun 2011

KMPP POHON KERAJAAN NEGERI BUKA TANAH JELAPANG PADI KEPADA PEMBANGUNAN MAMPU MILIK UNTUK MELAYU PULAU PINANG.


Bercakap mengenai soal pembangunan di Pulau Pinang, hanya kawasan di sebelah pulau sahaja yang menjadi tarikan para pelabur terutamanya pelabur dari luar Pulau Pinang. Tambahan pula, kerajaan negeri begitu berhasrat untuk menjadikan pembangunan di kawasan pulau sebagai bandar antarabangsa. Hasrat tersebut amatlah dihargai bagi menjana ekonomi negeri dan rakyat. Sebagai orang Pulau Pinang tentulah kita juga turut sama akan merasai tempias dari arus pembangunan tersebut disamping dapat menikmati sedikit sebanyak hasil pendapatan ekonomi terutamanya menerusi peluang-peluang pekerjaan khususnya untuk orang-orang Melayu.

Hakikatnya itulah apa yang akan berlaku untuk pembangunan di kawasan pulau. Persoalannya berapa ramaikah orang Melayu yang mampu memiliki rumah di kawasan pulau? Apakah orang Melayu hanya layak tinggal di rumah pangsa kos rendah sahaja? Soal penjualan tanah-tanah melayu kepada pemaju perumahan tidak dapat disekat dan tidak ada peruntukkan dari segi undang-undang untuk mengatasinya. Akhirnya akan tiba ketika majoriti orang-orang Melayu hanya menjadi penyewa terhormat sahaja. Pihak KMPP begitu prihatin akan situasi begini. Apakah tidak ada jalan alternatif untuk orang-orang Melayu mempunyai rumah mampu milik di kawasan pulau dan tanah besar?

Pihak KMPP memandang serius kepada masalah sosial  ekonomi dan kebajikan orang-orang Melayu Pulau Pinang. Isu tanah orang-orang Melayu di Pulau Pinang telah menjadi sejarah untuk dijadikan iktibar. Justeru itu pihak KMPP atas desakan situasi tersebut ingin mencadangkan supaya bagi memberi peluang kepada orang-orang Melayu Pulau Pinang memiliki rumah, mengapa tidak pihak kerajaan negeri yang amat prihatin  dengan nasib orang Melayu dapat melonggarkan syarat-syarat pembangunan di atas tanah-tanah jelapang padi di lokasi-lokasi strategik bagi tujuan pembangunan tersebut. Ramai orang-orang Melayu di kawasan tanah besar yang tertanya-tanya dimanakah pembangunan mampu milik untuk mereka di kawasan Seberang Perai? Kenapa hanya difokuskan soal pembangunan hanya di kawasan pulau sahaja? Banyak kawasan jelapang padi yang strategik untuk tujuan pembangunan yang tidak diusahakan di beberapa lokasi terutamanya di daerah Seberang Perai Tengah sebagai contoh kawasan Permatang Pauh. Tanah-tanah padi tersebut boleh diistilah sebagai hidup segan mati tak mahu ini ialah kerana aktiviti sawah padi di kawasan berkenaan hanya bergantung kepada subsidi pihak kerajaan semata-mata. Jika tanah-tanah ini dapat dimajukan sudah pasti kemampuan untuk orang Melayu memiliki rumah mampu milik akan tercapai.

Oleh yang demikian, pihak KMPP memohon kerjasama pihak kerajaan negeri dapat melonggarkan syarat ke atas permohonan pengezonan semula atau “rezoning” tanah jelapang padi ini kepada pembangunan. Faedahnya akan dapat dirasai oleh majoriti orang-orang Melayu dan seterusnya bukan Melayu untuk memiliki rumah mampu milik. Perbandingan harga tanah di kawasan pulau dan tanah besar adalah seperti langit dengan bumi. Jika cadangan oleh pihak KMPP dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri maka ianya sudah pasti akan memberikan satu impak yang sihat dari segi ekonomi di mana pulangan pendapatan kepada kerajaan tempatan dan kerajaan negeri, hasil dari cukai tanah, cukai pintu serta lain-lain sumber. Dan pada waktu yang sama bukan saja orang-orang Melayu dapat memiliki rumah mampu milik malah banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Situasi ini juga mampu menyekat penghijrahan penduduk Melayu keluar dari Pulau Pinang.

Pihak KMPP yakin ramai pelabur yang berminat untuk melabur jika pihak Kerajaan Negeri memberi kelonggaran syarat untuk membuka tanah –tanah yang berpotensi tinggi berkenaan kepada pembangunan mampu milik. Adalah dicadangkan kuota 50% kepada melayu diwujudkan bagi tujuan tersebut dan selebihnya dibuka kepada bukan melayu.  













Justeru itu, pihak KMPP juga ingin merujuk kepada situasi geo-politik di kawasan Balik Pulau dan tanah besar yang mana majoritinya adalah orang-orang Melayu dan golongan ini kebanyakannya adalah dari golongan yang mempunyai pendapatan sederhana di mana mereka hanya mampu memiliki rumah dari nilai RM250 000 ke bawah.



Menilai dari aspek-aspek berkenaan, pihak KMPP hairan kenapakah tidak ada usaha kearah tersebut oleh pemimpin-pemimpin Melayu kerajaan negeri termasuk Majlis Agama Islam bagi memenuhi keperluan orang-orang Melayu memiliki rumah mampu milik. Orang-orang Melayu Pulau Pinang tidak ada masa untuk menilai sengketa fitnah memfitnah, caci-mencaci tanpa bukti yang nyata oleh pemimpin Melayu semata-mata kerana gilakan kuasa hingga soal ekonomi, kita bukan lagi menjadi agenda penting. Kikislah ideologi politik malah bersatulah jika ingin melihat orang-orang Melayu terus bertapak di Pulau Pinang. Jangan sampai satu hari nanti orang-orang Melayu Pulau Pinang hanya menjadi penyewa terhormat ke atas hak milik bangsa lain. Belum terlewat lagi, pihak KMPP tiada hasrat menyalahkan mana-mana pihak. Perjuangan untuk membela nasib orang-orang Melayu dalam situasi munasabah harus diteruskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan