Selasa, 27 Mac 2012

ISU PERGABUNGAN DAP & PKR – SATU CADANGAN SIA-SIA

Cadangan oleh Adun Kebun Bunga YB Jason Ong supaya satu gabungan diantara Parti DAP dan Parti PKR dilaksanakan demi bagi memperkukuhkan kedua-dua parti berkenaan disamping cubaan bagi mengekang Parti PAS sebagai Parti pendahulu dalam Pakatan Rakyat. Persoalannya kenapa cadangan berkenaan dibuat dan apakah rasionalnya penggabungan tersebut? Jika isu cadangan berkenaan gagal diatasi dengan baik ianya bakal mendatangkan defisit kerjasama sesama mereka iaitu PAS, PKR dan DAP dalam satu gabungan yang terbentuk atas nama Pakatan Rakyat.
 
Justeru itu, pihak KMPP sebagai sebuah NGO melayu di Pulau Pinang berpandangan jika sekiranya asas kepada cadangan tersebut dibuat adalah semata-mata kerana PKR mewakli majoriti masyarakat Melayu dan India sedangkan DAP mewakili orang Cina tanpa diketahui kedudukan Parti PAS yang sebenar, maka amat tidak rasional sama sekali cadangan berkenaan dibuat. Persoalannya benarkah PKR mendapat sokongan kuat daripada masyarakat India dan Melayu khususnya di Pulau Pinang? Apakah parti DAP hanya untuk kaum Cina sahaja dan bukannya parti berbilang kaum? Seterusnya adakah Parti PAS hanya untuk golongan yang berjanggut dan berserban serta berkopiah putih sahaja? Sesungguhnya inilah persoalan yang timbul akibat dari cadangan oleh pihak PKR berkenaan.
Tidak menjadi kesalahan jika pihak KMPP menilai dalam situasi tersebut dari dua sudut terpenting iaitu yang pertamanya cadangan berkenaan diilhamkan kerana PKR berhasrat untuk menumpang kekuatan sokongan daripada DAP yang dianggap sebagai suara terbesar dalam Kerajaan Negeri. Kononnya Parti DAP hanya untuk kaum Cina sahaja dengan menidakkan soal DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum. Keduannya cadangan pergabungan tersebut dilihat untuk menidakkan demokrasi wujud keatas pemimpin-pemimpin melayu dalam DAP. Momentum politik terbaru yang diilusikan oleh PKR dilihat sedikit menyentuh hati pengundi-pengundi melayu khususnya dinegeri ini. Persoalan dimanakah komitmen pemimpin melayu DAP selepas PRU13 nanti bakal berkubur jika cadangan PKR tersebut dimeterai. Pada waktu yang sama adalah dipercayai bahawa DAP tidak semudah itu untuk diperbodohkan kerana DAP jauh lebih tua usianya dari PKR.
Pihak KMPP tidak akan berganjak dari landasan supaya sekurang-kurangnya lima orang calon DAP Melayu yang bermastautin di Pulau Pinang bertanding pada PRU13 nanti di Pulau Pinang. Pihak KMPP percaya soal calon DAP Melayu adalah merupakan perkara terpenting yang sedang diberi perhatian oleh Parti DAP. Isu kekuatan politik melayu dinegeri ini adalah perkara yang tidak boleh dikompromi  tidak kira parti mana yang memerintah Pulau Pinang.
Oleh yang demikian, adalah wajar cadangan yang dianggap seperti menumpang kekuatan pihak lain demi bagi menyelamatkan parti PKR ditarikbalik serta merta dari terus menjadi permainan politik kotor oleh pihak tertentu dan mungkin juga dalam Pakatan Rakyat sendiri dari sudut lain yang munasabah berasaskan kepada kesan cadangan berkenaan ada kemungkinan Pakatan Rakyat akan ditolak oleh pengundi nanti. 
Lanjutan daripada cadangan berkenaan juga lebih membuka ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi parti PKR yang dilihat telah hilang konsentrasi atau halatuju perjuangan mereka sehingga sanggup memperkecilkan kemampuan Parti PAS. Jangan terlalu yakin bahawa negeri Pulau Pinang adalah selamat untuk Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa Barisan Nasional sedang bergerak dalam senyap untuk cuba sedaya upaya merampas atau mengurangkan majoriti 2/3 suara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti. Walaupun negeri Pulau Pinang dianggap kebal jika dibandingkan dengan ngeri-negeri lain dibawah Pakatan Rakyat jangan lupa bahawa pengundi adalah “Big Boss” dalam menentukan sesebuah Kerajaan berkenaan.
Pihak KMPP tidaklah bermaksud menidakkan kekuatan Parti PKR akan tetapi akhir-akhir ini terdapat isu-isu remeh yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dimana akhirnya mengheret rakyat berada dalam dilema. Tidakkah Parti PKR sedar bahawa dengan mewujudkan cadangan-cadangan serta isu-isu semasa semata-mata hanya untuk mendapatkan publisiti adalah dikhuatiri akhirnya bakal membawa padah diatas kesilapan mereka sendiri.
Dari segi geopolitik di Pulau Pinang, pada hari ini adalah difahamkan bahawa terdapat kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PKR berada dalam zon tidak selamat. Apakah PKR masih melawan arus dengan mencuba nasib atau atas semangat setiakawan melepaskan beberapa kawasan yang tidak selamat kepada Parti Pas atau Parti DAP. Mungkin juga PKR lebih rela melihat kehilangan kerusi kepada Barisan Nasional daripada berkompromi sesama rakan mereka dalam Pakatan Rakyat? Keadaan sama juga mungkin berlaku kepada DAP dan PAS. Namum situasi berkenaan dilihat lebih ketara kepada Parti PKR.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan