Pihak Kongres Melayu Pulau
Pinang (KMPP) mengalu-alukan serta menyambut baik permohonan maaf daripada
Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia bagi semua pihak pemimpin UMNO
dan Barisan Nasional, (BN). Sebagai seorang manusia biasa yang berjiwa rakyat,
permohonan maaf beliau yang dibuatnya di Kuala Ketil, Kedah tersebut dilihat sebagai
mengakui kesilapan lampau kerana kecuaiaan pemimpin-pemimpin BN terutamanya
UMNO hingga melalaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat lantas membuatkan
rakyat telah menolak mereka dibeberapa buah negeri dimana sekarang ini dikuasai
oleh Pakatan Rakyat, (PR).
Ini adalah pertama kali dalam
sejarah pemerintahan BN di negara ini dimana seorang Perdana Menteri dengan
nada sedih dan serius “melukut ditepi gantang” bagi meraih semula
sokongan dari rakyat untuk terus memberi ruang dan peluang kepada BN supaya
terus memerintah negara ini selepas PRU13 nanti. Dapatkah rakyat memaafkan BN?
Rakyat sedar kalau tidak kerana kekuatan PR masakan Perdana Menteri sendiri
sanggup memohon maaf sedemikian rupa. Apapun KMPP menyanjung tinggi permohonan
maaf daripada seorang Perdana Menteri.
Persoalannya bolehkah semua
pemimpin UMNO dan BN membuat permohonan maaf sepertimana yang dilakukan oleh
seorang Perdana Menteri secara terbuka? Dalam masyarakat yang majmuk dan
berbilang kaum di Malaysia dan serta berasaskan kepada teori Kerajaan BN iaitu
“Kepimpinan Melalui Tauladan”, mereka perlu melakukannya. Rakyat tidak dapat melupakan kesilapan lampau yang
telah mereka lakukan terutamanya melibatkan soal ekonomi serta kebajikan. Jika
tidak, usaha Perdana Menteri memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini
hanyalah sia-sia sahaja.
Kini masa untuk mereka (BN)
berkerja keras kerana PRU13 yang semakin hampir. Jangan sesekali terlalu banyak
menuding jari serta menjaga tepi kain orang lain dengan membuat kritikan
terhadap parti lawan yang sememangnya sedang mengira kredit sokongan terhadap
mereka. Senario politik sekarang amat berbeza dari dahulu dimana rakyat mahukan
satu Kerajaan yang benar-benar dapat membela ekonomi dan kebajikan rakyat
daripada membuang masa melayan permainan politik porno.
Telahan serta ramalan oleh Tun
Daim Zainuddin baru-baru ini, janganlah dijadikan sebagai azimat untuk merasa
selesa oleh pemimpin BN terutamanya UMNO. Anggapan beliau BN akan menang besar
hanyalah satu retorik semata-mata. Jangan lupa pandangan beliau mungkin berlaku
sebaliknya. Oleh yang demikian, jangan biarkan hanya seorang Perdana Menteri
bersuara serta bekerja keras sedangkan pemimpin lain hanya “melepaskan batok
ditangga” sahaja. Jangan biarkan hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang
mengiakan transformasi kepimpinan demi
kepentingan rakyat sedangkan pemimpin lain hanya “hangat-hangat tahi ayam”
sahaja.
Sanggupkah kita melihat Barisan
Nasional hanya tinggal sebagai artifak sejarah selepas PRU13 nanti? Apapun
akhirnya jangan kita lupa bahawa kuasa adalah ditangan rakyat. Pemimpin politik
adalah diibaratkan seperti konduktor semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan