Selasa, 27 Mac 2012

ISU PERGABUNGAN DAP & PKR – SATU CADANGAN SIA-SIA

Cadangan oleh Adun Kebun Bunga YB Jason Ong supaya satu gabungan diantara Parti DAP dan Parti PKR dilaksanakan demi bagi memperkukuhkan kedua-dua parti berkenaan disamping cubaan bagi mengekang Parti PAS sebagai Parti pendahulu dalam Pakatan Rakyat. Persoalannya kenapa cadangan berkenaan dibuat dan apakah rasionalnya penggabungan tersebut? Jika isu cadangan berkenaan gagal diatasi dengan baik ianya bakal mendatangkan defisit kerjasama sesama mereka iaitu PAS, PKR dan DAP dalam satu gabungan yang terbentuk atas nama Pakatan Rakyat.
 
Justeru itu, pihak KMPP sebagai sebuah NGO melayu di Pulau Pinang berpandangan jika sekiranya asas kepada cadangan tersebut dibuat adalah semata-mata kerana PKR mewakli majoriti masyarakat Melayu dan India sedangkan DAP mewakili orang Cina tanpa diketahui kedudukan Parti PAS yang sebenar, maka amat tidak rasional sama sekali cadangan berkenaan dibuat. Persoalannya benarkah PKR mendapat sokongan kuat daripada masyarakat India dan Melayu khususnya di Pulau Pinang? Apakah parti DAP hanya untuk kaum Cina sahaja dan bukannya parti berbilang kaum? Seterusnya adakah Parti PAS hanya untuk golongan yang berjanggut dan berserban serta berkopiah putih sahaja? Sesungguhnya inilah persoalan yang timbul akibat dari cadangan oleh pihak PKR berkenaan.
Tidak menjadi kesalahan jika pihak KMPP menilai dalam situasi tersebut dari dua sudut terpenting iaitu yang pertamanya cadangan berkenaan diilhamkan kerana PKR berhasrat untuk menumpang kekuatan sokongan daripada DAP yang dianggap sebagai suara terbesar dalam Kerajaan Negeri. Kononnya Parti DAP hanya untuk kaum Cina sahaja dengan menidakkan soal DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum. Keduannya cadangan pergabungan tersebut dilihat untuk menidakkan demokrasi wujud keatas pemimpin-pemimpin melayu dalam DAP. Momentum politik terbaru yang diilusikan oleh PKR dilihat sedikit menyentuh hati pengundi-pengundi melayu khususnya dinegeri ini. Persoalan dimanakah komitmen pemimpin melayu DAP selepas PRU13 nanti bakal berkubur jika cadangan PKR tersebut dimeterai. Pada waktu yang sama adalah dipercayai bahawa DAP tidak semudah itu untuk diperbodohkan kerana DAP jauh lebih tua usianya dari PKR.
Pihak KMPP tidak akan berganjak dari landasan supaya sekurang-kurangnya lima orang calon DAP Melayu yang bermastautin di Pulau Pinang bertanding pada PRU13 nanti di Pulau Pinang. Pihak KMPP percaya soal calon DAP Melayu adalah merupakan perkara terpenting yang sedang diberi perhatian oleh Parti DAP. Isu kekuatan politik melayu dinegeri ini adalah perkara yang tidak boleh dikompromi  tidak kira parti mana yang memerintah Pulau Pinang.
Oleh yang demikian, adalah wajar cadangan yang dianggap seperti menumpang kekuatan pihak lain demi bagi menyelamatkan parti PKR ditarikbalik serta merta dari terus menjadi permainan politik kotor oleh pihak tertentu dan mungkin juga dalam Pakatan Rakyat sendiri dari sudut lain yang munasabah berasaskan kepada kesan cadangan berkenaan ada kemungkinan Pakatan Rakyat akan ditolak oleh pengundi nanti. 
Lanjutan daripada cadangan berkenaan juga lebih membuka ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi parti PKR yang dilihat telah hilang konsentrasi atau halatuju perjuangan mereka sehingga sanggup memperkecilkan kemampuan Parti PAS. Jangan terlalu yakin bahawa negeri Pulau Pinang adalah selamat untuk Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama mereka lupa bahawa Barisan Nasional sedang bergerak dalam senyap untuk cuba sedaya upaya merampas atau mengurangkan majoriti 2/3 suara dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti. Walaupun negeri Pulau Pinang dianggap kebal jika dibandingkan dengan ngeri-negeri lain dibawah Pakatan Rakyat jangan lupa bahawa pengundi adalah “Big Boss” dalam menentukan sesebuah Kerajaan berkenaan.
Pihak KMPP tidaklah bermaksud menidakkan kekuatan Parti PKR akan tetapi akhir-akhir ini terdapat isu-isu remeh yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin mereka dimana akhirnya mengheret rakyat berada dalam dilema. Tidakkah Parti PKR sedar bahawa dengan mewujudkan cadangan-cadangan serta isu-isu semasa semata-mata hanya untuk mendapatkan publisiti adalah dikhuatiri akhirnya bakal membawa padah diatas kesilapan mereka sendiri.
Dari segi geopolitik di Pulau Pinang, pada hari ini adalah difahamkan bahawa terdapat kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PKR berada dalam zon tidak selamat. Apakah PKR masih melawan arus dengan mencuba nasib atau atas semangat setiakawan melepaskan beberapa kawasan yang tidak selamat kepada Parti Pas atau Parti DAP. Mungkin juga PKR lebih rela melihat kehilangan kerusi kepada Barisan Nasional daripada berkompromi sesama rakan mereka dalam Pakatan Rakyat? Keadaan sama juga mungkin berlaku kepada DAP dan PAS. Namum situasi berkenaan dilihat lebih ketara kepada Parti PKR.   

Isnin, 19 Mac 2012

ANWAR IBRAHIM PEMIMPIN YANG TIDAK KONSISTEN

Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) melahirkan perasaan dukacita dan hairan kenapa Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah menolak satu peluang keemasan dimana beliau enggan bersemuka dengan Raja Petra Kamaruddin (RPK) di dalam forum politik global anjuran Wikileaks di England. Senario  seperti ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya dikalangan rakyat khususnya orang-orang melayu dinegara ini yang dengan jelas mempamirkan kerisauan beliau berdepan dengan RPK. Apa sangat yang istimewa yang ada dengan PRK sehingga DSAI dilihat seperti seorang badut serta hilang sengat sebagai seorang pemimpin politik dimana beliau juga adalah Ketua Pembangkang Parlimen.

Rakyat yang berfikiran waras sudah pastinya merasakan bahawa keengganan beliau tersebut ada kaitan dengan persoalan peribadi diantara mereka. Namun pihak KMPP merasakan situasi tersebut tiada kena mengena dengan soal politik tanahair. Beliau sepatutnya menggunakan platform forum berkenaan bagi menambahkan kekuatan politiknya memandang tempoh PRU13 semakin hampir. Adalah diibaratkan seperti seorang pemimpin yang pandai membaling batu, sembunyi tangan dengan mengheret rakyat dinegara ini dalam dilema bukanlah cara terbaik malah bakal mendatangkan defisit sokongan kepada beliau dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.
Jangan bermain dengan publisiti dari luar negara dan pada waktu yang sama mengharapkan sokongan rakyat di negara ini. Rakyat dinegara ini sudah cukup kepenatan melayan akan masalah demi masalah yang diwujudkan oleh beliau. Timbul persoalan mampukah Parti PKR bertahan pada PRU13? Dalam hal sedemikian, pihak KMPP percaya adalah lebih berfaedah bagi beliau membantu rakyat Pulau Pinang khususnya orang-orang melayu di negeri ini. Persoalan disini, berapa banyakkah faedah orang-orang melayu Pulau Pinang dapat menerusi parti PKR semenjak tahun 2008?
Dalam situasi yang neutral, KMPP bagi pihak orang-orang melayu dinegeri ini mencabar DSAI memberikan satu kenyataan rasmi yang logik mengapakah beliau dengan sendirinya menolak pelawaan pihak penganjur untuk bersemuka dengan RPK? Rakyat perlu mengetahui sebab-sebab yang munasabah. Kenyataan beliau adalah sangat mustahak dan secara tidak langsung memperlihatkan perwatakkan sebenar beliau sebagai seorang pemimpin politik dinegara ini. Apakah beliau rela melihat diatas kesilapannya maka Pakatan Rakyat akan ditolak oleh pengundi pada PRU13 nanti?

Rabu, 14 Mac 2012

TERKILAN BERITA PUTAR BELITOLEH BERNAMA.

KMPP kecewa dengan laporan pihak BERNAMA yang telah memutar-belitkan kenyataan KMPP sepertimana yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 14/2/2012. Kenyataan Presiden KMPP, Rahmad Isahak yang dibuat pada 13/2/2012 adalah lebih menjurus kepada halatuju politik serta ekonomi orang-orang melayu Pulau Pinang. Pihak saya mencadangkan supaya 5 Exco Melayu termasuk seorang Timbalan Ketua Menteri dari Parti DAP dilantik dalam barisan Kerajaan Negeri. Itupun jikalau Pakatan Rakyat masih menjadi Kerajaan Pulau Pinang selepas PRU13. Namum jikalau Barisan Nasional kembali berkuasa, maka senario yang sama harus dikekalkan.

Pihak KMPP juga mempertikaikan kenapa UMNO Negeri ini yang ada 11 kerusi Dun tidak berani bersuara supaya kerusi Pengerusi Barisan Nasional Negeri ini diberikan kepada UMNO? Inilah masa yang terbaik pemimpin UMNO disini menegakkan atau melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai sebuah parti melayu yang benar-benar memperjuangkan nasib melayu dinegeri ini. Soal menjadi pembangkang tidak timbul dalam isu tersebut.
Akan tetapi apa yang dilakukan oleh pihak BERNAMA adalah sebaliknya serta lari dari kenyataan sebenar pihak KMPP. KMPP tidak langsung menyatakan bahawa Parti PAS dan Parti PKR tidak pernah membantu orang-orang melayu Pulau Pinang. Sesungguhnya laporan BERNAMA tersebut secara tidak langsung telah memutar-belitkan kenyataan sebenar KMPP.

Apakah selama ini pihak BERNAMA yang makan gaji dengan Kerajaan Pusat suka dan gemar menyiarkan laporan yang tidak betul untuk penerimaan rakyat khususnya orang-orang melayu? Ini bermakna selama ini orang-orang melayu khususnya banyak bergantung serta membuat andaian keatas berita-berita palsu yang telah diputar-belitkan oleh pihak BERNAMA sekiranya kenyataan tersebut tidak menyokong parti Barisan Nasional. Situasi ini dilihat sebagai telah membelakangkan kebebasan media dan patut diingatkan bahawa sekiranya laporan tersebut dikeluarkan oleh seorang Islam, maka beliau juga akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Justeru itu adalah diharapkan pihak BERNAMA pada masa hadapan lebih peka dalam menyiarkan sebarang berita daripada menjadi tukang tilik politik pihak UMNO dan Barisan Nasional.

Selasa, 13 Mac 2012

SHARIZAT WAJIB MELETAK KEDUA-DUA JAWATAN DALAM PARTI DAN KERAJAAN

Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) melahirkan rasa terkilan dengan cara Dato’ Seri Sharizat Abdul Jalil yang hanya meletakkan jawatan sebagai Menteri tetapi masih terus mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO. Keputusan tersebut dilihat sebagai melepaskan batuk di tepi tangga. Selagi beliau masih kekal jawatan dalam Parti UMNO maka gred liabiliti terhadap UMNO daripada orang – orang Melayu akan bertambah. Pemimpin – pemimpin UMNO akan dituduh bersubahat dan bersekongkol dengan beliau khususnya dalam isu NFC ternyata bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Keputusan beliau tersebut sudah dapat di kesan dari awal lagi seperti retak menanti belah. Di mana beliau sudah dibisik oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO bahawa masa yang terbaik melepaskan jawatan Menteri ialah apabila hampir tamat jawatan Senator pada 8/4/2012. Tidakkah keputusan beliau sudah terlewat selepas asakan demi asakan pihak pembangkang dalam isu NFC berkenaan. Agak malu hendak dikatakan bahawa impak dari keputusan beliau adalah satu kejayaan pihak pembangkang yang secara tidak langsung membuktikan Sharizat memang ada menggunakan pengaruh beliau selaku Menteri bagi memperoehi pinjaman yang amat menyakitkan hati seluruh rakyat Malaysia kepada Syarikat suami beliau iaitu NFC. Mungkinkah beliau telah insaf yang akhirnya dengan izin yang maha esa telah membuka hatinya untuk meletakkan jawatan. Syabas KMPP ucapkan kepada “MAMI TANJUNG” yang bersikap garang pada awalnya tapi kini telah terkulai layu. 
Jawatan Dalam Parti wajib dilepaskan.
KMPP ingin mengingatkan beliau bahawa tanpa jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO Malaysia jangan harap Perdana Menteri akan melantiknya sebagai Senator yang kemudiannya dilantik sebagai menteri. Jangan mempermainkan parti UMNO serta menipu diri sendiri secara baling batu sembunyi tangan. Kontrak sosial adalah terbentuk apabila jawatan dalam parti adalah mendahului jawatan dalam kerajaan. Jangan khianati golongan wanita khususnya yang telah memberikan amanah serta kepercayaan kepada beliau dan bukannya untuk beliau meraih keuntungan untuk keluarganya semata – mata.
Dalam hal sedemikian jikalau beliau adalah seorang pemimpin wanita Barisan Nasional dan UMNO terutamanya, maka Sharizat wajib melepaskan jawatannya secara serentak dan sekaligus menampakkan slogan Kepimpinan Melalui Teladan terpakai. Timbul tanda tanya mengapakah beliau masih mengekalkan jawatannya dalam parti? Mungkin juga bagi menumpukan jentera wanita bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Dalam segi lain tidakkah beliau terfikir selagi beliau masih dalam jawatan parti bahawa kemerosotan sokongan pengundi bukan sahaja dari kaum wanita akan berlaku terhadap UMNO dan Barisan Nasional?. KMPP percaya bahawa separuh daripada sokongan kaum hawa di negara ini masih bersama Barisan Nasional. Tidak mustahil menjelangnya pilihanraya nanti majoriti sokongan kaum wanita akan lebih mengarah kepada pembangkang disebabkan keegoaan beliau yang diibaratkan sebagai wira yang tidak di dendang.
KMPP percaya kedegilan beliau untuk kekal dalam jawatan parti adalah kerana beliau merasakan masih mendapat sokongan dari rakyat khususnya dari kaum wanita. Jika ini dijadikan asasnya maka hari ini KMPP mencabar beliau supaya pulang ke Pulau Pinang dan bertanding di mana- mana kerusi Parlimen di negeri ini. Semoga Sharizat akan kembali sebagai Ahli Parlimen selepas PRU – 13 nanti. Cabaran KMPP terhadap beliau adalah serius kerana di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Beliau perlu mendapat mandat di negeri sendiri sebelum berhijrah ke negeri orang.      
Sebagai sebuah NGO Melayu di Pulau Pinang di mana tempat lahirnya Sharizat pihak saya amat malu serta terkilan kerana pemimpn wanita ini telah mengklasifikasikan perletakkan jawatan beliau di dalam situasi yang kononnya berkorban demi parti dan kerajaan. Antara parti dan kerajaan adalah dua elemen yang berbeza akan tetapi secara hirakinya tanpa parti politik sudah pastinya tidak akan wujud kerajaan di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi dengan berpaksikan Raja dan Perlembagaan.
Dalam situasi tersebut rakyat negara ini terutamanya orang – orang Melayu Pulau Pinang tidak sebegitu mudah untuk diperbodohkan dengan cara beliau melepaskan jawatannya hanya sebagai Menteri tapi tidak sebagai Ketua Wanita UMNO. Keadaan tersebut bertambah parah apabila UMNO negeri ini yang mempunyai 11 kerusi DUN masih tidak berani bersuara supaya diberikan kerusi Pengerusi  Barisan Nasional Negeri. Alang – alang menyelok pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jikalau tidak adalah dikhuatiri cerita angan- angan Mat Jenin pasti melanda UMNO negeri ini.
Justeru, kita semua harus akur bahawa sedetik kesilapan oleh pemimpin politik maka mereka akan dihukum oleh rakyat tanpa belas ehsan. Apa jua habuan imbuhan yang tidak diterima secara berkala adalah merupakan derma ajaib ataupun durian runtuh yang mempunyai motif. Yang pentingnya rakyat tidak sanggup melihat negara ini menuju ke alaf kebankrapan selepas PRU- 13 nanti.        

Isnin, 5 Mac 2012

PERMOHONAN MAAF DARIPADA PERDANA MENTERI

Pihak Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mengalu-alukan serta menyambut baik permohonan maaf daripada Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia bagi semua pihak pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, (BN). Sebagai seorang manusia biasa yang berjiwa rakyat, permohonan maaf beliau yang dibuatnya di Kuala Ketil, Kedah tersebut dilihat sebagai mengakui kesilapan lampau kerana kecuaiaan pemimpin-pemimpin BN terutamanya UMNO hingga melalaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat lantas membuatkan rakyat telah menolak mereka dibeberapa buah negeri dimana sekarang ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat, (PR).
Ini adalah pertama kali dalam sejarah pemerintahan BN di negara ini dimana seorang Perdana Menteri dengan nada sedih dan serius “melukut ditepi gantang” bagi meraih semula sokongan dari rakyat untuk terus memberi ruang dan peluang kepada BN supaya terus memerintah negara ini selepas PRU13 nanti. Dapatkah rakyat memaafkan BN? Rakyat sedar kalau tidak kerana kekuatan PR masakan Perdana Menteri sendiri sanggup memohon maaf sedemikian rupa. Apapun KMPP menyanjung tinggi permohonan maaf daripada seorang Perdana Menteri.
Persoalannya bolehkah semua pemimpin UMNO dan BN membuat permohonan maaf sepertimana yang dilakukan oleh seorang Perdana Menteri secara terbuka? Dalam masyarakat yang majmuk dan berbilang kaum di Malaysia dan serta berasaskan kepada teori Kerajaan BN iaitu “Kepimpinan Melalui Tauladan”, mereka perlu melakukannya.  Rakyat tidak dapat melupakan kesilapan lampau yang telah mereka lakukan terutamanya melibatkan soal ekonomi serta kebajikan. Jika tidak, usaha Perdana Menteri memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini hanyalah sia-sia sahaja.
Kini masa untuk mereka (BN) berkerja keras kerana PRU13 yang semakin hampir. Jangan sesekali terlalu banyak menuding jari serta menjaga tepi kain orang lain dengan membuat kritikan terhadap parti lawan yang sememangnya sedang mengira kredit sokongan terhadap mereka. Senario politik sekarang amat berbeza dari dahulu dimana rakyat mahukan satu Kerajaan yang benar-benar dapat membela ekonomi dan kebajikan rakyat daripada membuang masa melayan permainan politik porno.   
Telahan serta ramalan oleh Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, janganlah dijadikan sebagai azimat untuk merasa selesa oleh pemimpin BN terutamanya UMNO. Anggapan beliau BN akan menang besar hanyalah satu retorik semata-mata. Jangan lupa pandangan beliau mungkin berlaku sebaliknya. Oleh yang demikian, jangan biarkan hanya seorang Perdana Menteri bersuara serta bekerja keras sedangkan pemimpin lain hanya “melepaskan batok ditangga” sahaja. Jangan biarkan hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang mengiakan  transformasi kepimpinan demi kepentingan rakyat sedangkan pemimpin lain hanya “hangat-hangat tahi ayam” sahaja.
Sanggupkah kita melihat Barisan Nasional hanya tinggal sebagai artifak sejarah selepas PRU13 nanti? Apapun akhirnya jangan kita lupa bahawa kuasa adalah ditangan rakyat. Pemimpin politik adalah diibaratkan seperti konduktor semata-mata.

Jumaat, 2 Mac 2012

INSIDEN TUNJUK KASUT OLEH WIRA PERKASA


Pihak Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) melahirkan rasa kecewa yang amat sangat terhadap perbuatan biadap oleh budak hingusan yang kononnya “WIRA PERKASA PULAU PINANG”. Insiden yang menunjukkan kasut kepada Ketua Menteri baru-baru ini amatlah tidak bertamadun sebagai seorang melayu yang beragama Islam. Beginikah caranya PERKASA menyelesaikan masalah orang-orang Melayu dinegeri ini? Dari mula lagi memang majoriti melayu disini tidak bersetuju langsung dengan cara pihak PERKASA membantu permasalahan orang-orang melayu pulau pinang. Dengan mempraktikkan revolusi fizikal bagi tujuan memaksa Kerajaan Negeri melayan kehendak mereka bukanlah jalan yang terbaik. Kalau hendak menjadi gangster jalanan bukanlah dinegeri ini.

Pihak PERKASA perlu cermin diri mereka terlebih dahulu tindak-tanduk yang bermula dengan cara agresif dan kemudiannya menggertak Kerajaan Negeri supaya tunduk kepada kemahuan mereka sudah tidak terpakai. Pihak KMPP sendiri begitu lantang bersuara tetapi tidak pernah memberontak, justeru tiada masalah kepada kami untuk menyampaikan terus memorandum kepada Ketua Menteri biar kurang publisiti asalkan kita diterima baik seadanya.

Pihak saya percaya walaupun Ketua Menteri bukan orang melayu namun beliau ada caranya untuk sedaya upaya membantu orang-orang melayu dinegeri ini. Beliau lebih sedar tanpa sokongan orang-orang melayu pentadbiran Kerajaan Negeri akan menjadi kucar kacir. Beliau lebih arif tentang geo - politik dinegeri ini, “Bertepuk tangan sebelah tidak akan berbunyi”. Hentikanlah sandiriwara wahai pihak PERKASA. Jangan mengambil terlalu banyak kesempatan untuk menjadi hero orang-orang melayu. Cukuplah lakonan anda.

Adalah dikhuatiri orang-orang melayu dinegeri ini akan terus terpinggir dan berada di dalam kerugian akibat permainan politik serta tindakan ganas seperti itu. Berilah peluang kepada orang-orang melayu yang seramai hampir 640,000 dinegeri ini memulihkan maruah mereka serta menarik nafas lega sementara menanti kedatangan PRU - 13 nanti. Tindak - tanduk pihak PERKASA berkenaan semestinya bakal menguntungkan sokongan terhadap pihak lain. KMPP berpandangan tidak perlulah pihak Kerajaan Negeri membuang masa melayan karenah yang berunsur keganasan seperti ini. Pihak saya hairan kenapa pemimpin-pemimpin politik melayu dinegeri ini khususnya hanya membisu dalam soal ini? Mengapa tidak berani menyuarakan pandangan bagi memperbetulkan akhlak anak-anak muda ini dari terus berkelakuan biadap atau mungkin juga pemimpin berkenaan bersekongkol dengan isu tersebut.

Pada masa yang akan datang adalah disarankan agar pihak Kerajaan yang diterajui oleh Parti DAP tidak memandang ringan keatas isu-isu yang melibatkan soal ekonomi orang-orang melayu dinegeri ini. Kita faham perlaksanaanya tidak mudah seperti yang diungkapkan. Namum pelan transformasi bagi tujuan penambahbaikkan perlu diterjemahkan supaya tidak timbul persoalan kedudukan melayu dinegeri ini dianak tirikan.

Itulah sebabnya pihak KMPP telah mengemukakan cadangan agar pihak Kerajaan Negeri dapat menubuhkan MAJLIS RUNDINGAN EKONOMI MELAYU PULAU PINANG (MREMPP) supaya semua permasalahan ekonomi serta kebajikan orang-orang melayu di negeri ini dapat disalurkan terus kepada Majlis Rundingan berkenaan. Ini disebabkan tiada seorang Exco Melayu pun dibawah pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang yang berkaliber serta berkebolehan dapat menyelesaikan masalah-masalah orang-orang melayu dinegeri ini. Situasi demonstrasi dan tindakan biadap seperti itu berkemungkinan dapat diredakan. Pihak KMPP memohon supaya cadangan tersebut dikaji secara serius dari sudut positif setidak-tidaknya satu impak yang berkesan dari segi sokongan moral kemanusiaan dapat diterjemahkan demi keselesaan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pihak KMPP tidak berhasrat menyebelahi mana-mana pihak namun atas nama maruah orang-orang melayu dinegeri ini maka pihak kami mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut yang secara tidak langsung menjatuhkan maruah orang melayu disini. Jika beginilah perbuatan mereka maka sudah pasti orang melayu dinegeri ini akan terus terpinggir tanpa pembelaan.