Umum
mengetahui bahawa Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang kononnya buat kali ke - 62
telah selamat melabuhkan tirainya. Ini bermakna perhimpunan berkenaan adalah
yang terakhir sebelum menjelangnya pilihanraya umum yang telah semakin hampir
tempohnya. Di dalam kesemua ucapan pemimpin UMNO secara puratanya lebih
menjurus kepada perjuangan hidup dan mati UMNO bagi menghadapi pilihanraya umum
nanti. Begitulah intipati utama perhimpunan kali ini. Setelah lebih setengah
dekad kewujudan parti UMNO, inilah kali pertama dalam sejarah para pemimpin
UMNO menjadi pengemis atau lebih tepat lagi melukut di tepi gantang bagi tujuan
meraih simpati serta sokongan dari rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan
juga bumiputera. Pihak KMPP menilai situasi ini sebagai satu usaha menebus
kesalahan lampau sehingga terjadinya musibah kehilangan kepercayaan dan
sokongan daripada orang-orang Melayu khususnya terhadap kepimpinan parti UMNO
terdahulu.
Persoalannya
apakah ucapan-ucapan semasa sesi perhimpunan tersebut mampu membuatkan
mentaliti orang-orang Melayu yang selama ini dalam dilema mampu kembali
menyokong UMNO ataupun mereka masih fobia dengan rentak politik yang dipersembahkan
oleh pemimpin UMNO. Memang tidak dapat dinafikan bahawa parti UMNO masih
relevan kepada orang-orang Melayu cuma peratusan relevansi berkenaan masih
menjadi tanda tanya misalnya kes NFC, selagi Datuk Seri Shahrizat tidak
melepaskan jawatannya maka kecacatan kelas pertama telah terpalit dibahu parti
UMNO. Tiada pilihan, beliau harus meletakkan jawatan.
Taat
setia telah diikrarkan oleh lebih kurang 2,700 perwakilan bagi memastikan UMNO
dan Barisan Nasional menang besar dalam pilihanraya umum nanti di mana pada
pandangan pihak KMPP usaha ke arah tersebut adalah di atas dasar ‘urgency’ atau
kesempitan masa di mana perlu ada pengorbanan yang jitu oleh semua pemimpin
Barisan Nasional. Jangan hanya semangat berkobar-kobar oleh semua pemimpin
serta perwakilan hanya semasa perhimpunan agung tersebut sahaja. Dikhuatiri
akhirnya presiden UMNO seorang sahaja terpaksa menanggung keletihan dalam
merealisasikan taat setia yang telah diikrarkan.
Banyak
teguran dan ucapan yang berkualiti telah diberikan bagi tujuan mendapatkan
kembali sokongan orang-orang Melayu dan bumiputera namun pihak KMPP merasa aneh
sebab pada perhimpunan kali ini, soal rasuah politik serta perhimpunan haram
menerusi demonstrasi jalanan yang kebiasaannya
diadakan pada hari Jumaat oleh NGO Melayu tidak disentuh langsung.
Mungkin juga kerana keghairahan untuk menang besar pada pilihanraya nanti maka
kedua-dua isu berkenaan sudah tidak relevan lagi kepada parti UMNO.
Transformasi
demi transformasi diperkenalkan oleh presiden UMNO yang juga Perdana Menteri
bagi tujuan memperkukuhkan parti UMNO dan Barisan Nasional. Dalam menyelam
sambil minum air parti UMNO terus menghentam parti pembangkang ataupun Pakatan Rakyat
terutamanya ikatan doremi diantara PKR, PAS dan DAP yang hubungannya telah
mengelirukan rakyat sehingga mereka boleh memerintah di tiga buah negeri
termasuk Wilayah Persekutuan. Pihak KMPP menyokong penuh UMNO dalam mengkritik
ikatan doremi berkenaan demi bagi mengembalikan sokongan kepada Barisan
Nasional terutamanya UMNO. Namun pada
masa yang sama adalah dikhuatiri akibat
daripada hentaman serta kritikan dalam situasi ‘desperado’ tersebut mungkin
akan menambahkan liabiliti sokongan rakyat terutamanya orang-orang Melayu
terhadap parti pemerintah. Dalam situasi yang neutral mungkin juga akan
terdapat kredit sokongan kepada parti pembangkang kesan daripada perhimpunan
agung UMNO tersebut. Perasaan serta naluri insan tidak boleh dijadikan boneka
di dalam urusan politik.
Pihak
KMPP lebih fokus kepada senario politik serta ekonomi orang Melayu di Pulau
Pinang. Sebagai sebuah negeri yang begitu unik dari segi geo-politiknya sudah
pasti hak-hak orang Melayu disini perlu diberikan perhatian oleh
pemimpin-pemimpin UMNO negeri serta pusat. Namun amat mendukacitakan sekali apa
yang berlaku semasa perhimpunan agung UMNO adalah sebaliknya. Tidak ada usaha
ke arah tersebut. Wakil negeri Pulau Pinang yang berucap hanya lebih menyentuh
kepada soal calon yang berpotensi sahaja. Tidak guna hanya mengenengahkan calon
yang layak serta popular sahaja yang lebih penting adalah transformasi keatas ketua-ketua
bahagian terlebih dahulu. Kalau ada yang berhormat dari kalangan orang muda
tapi Ketua Bahagian masih golongan veteran yang sama maka bakal YB berkenaan
dilihat seakan boneka piliharaan pihak – pihak tertentu sahaja.
Sepatutnya
pemimpin UMNO negeri lebih fokus kepada masalah ekonomi Melayu disini. Kenapa
membiarkan NGO-NGO Melayu yang mendapat kekebalan daripada pihak tertentu
memperdagangkan serta memperalatkan Melayu bagi tujuan politik menerusi
demonstrasi jalanan yang haram?. Pihak KMPP melihat senario tersebut bukanlah
lagi menjadi agenda penting pemimpin-pemimpin politik Melayu disini. Malang
sekali kerana mereka tidak menjadikan platform semasa perhimpunan agung UMNO
bagi membuktikan bahawa pemimpin UMNO negeri Pulau Pinang benar-benar berhasrat
untuk menghalang apajua perbuatan haram yang menyalahi undang-undang.
Sepatutnya soal maruah orang Melayu adalah menjadi tunjang kepada perjuangan
mereka. Janganlah kerana UMNO tidak berkuasa di negeri ini maka dibiarkan
maruah Melayu tersungkur di tepi jalan. Ada terdapat beberapa kes yang
menyebabkan soal ekonomi melayu diperlekehkan oleh pemimpin UMNO sendiri. Lihat
kepada projek Bazar Perdana, Bandar Perda di Bukit Mertajam sebagai contoh
dimana 85 peratus daripada lebih kurang 1000 unit bazaar berkenaan adalah pembeli
Melayu. Kesengsaraan mereka semenjak tahun 2004 lagi masih belum diselesaikan.
Bangunan Bazar tersebut yang sepatutnya menjadi lambang ekonomi orang Melayu
dikawasan tanah besar kini kekal menjadi bangunan gajah putih. Inilah laibiliti
yang ditinggalkan oleh pemimpin UMNO untuk dimanfaatkan oleh orang Melayu Pulau
Pinang. Justeru itu, pihak KMPP sekali lagi mendesak kerajaan negeri masuk
campur dalam membantu menyelesaikan kemelut Bazar Perdana tersebut.
Kongres
Melayu Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada pihak kerajaan negeri
tidak kira parti mana yang memerintah negeri ini demi bagi kepentingan
orang-orang Melayu di sini dalam situasi yang munasabah. Pihak kami juga akan
terus mengkritik secara membina dengan menggunakan minda bagi kepentingan
orang-orang melayu terutamanya dan bukan Melayu amnya jika terdapat keperluan
yang munasabah. Oleh yang demikian pihak KMPP menyeru kepada orang-orang Melayu
Pulau Pinang supaya bangkit dari lamunan agar dapat membezakan diantara kaca
dan permata. Begitu juga diantara realiti dan liabiliti menjelangnya
pilihanraya umum nanti. Sesungguhnya kenyataan pihak kami ini lebih menjurus
kepada kenyataan yang membina demi kesejahteraan anak bangsa kami sendiri.