Sabtu, 19 November 2011

KMPP CABAR SHARIZAT LETAK JAWATAN


Satu lagi episod malang melanda negara kita apabila wujudnya satu penyelewengan yang melibatkan kepentingan pembayar cukai yakni atau lebih tepat lagi wang rakyat disalah gunakan kali ini ada tuduhan penyelewengan yang kononnya melibatkan kaitan dengan seorang Menteri Kerajaan Pusat. Jika tuduhan tersebut benar maka sekali lagi badai pasti melanda ke atas pentas politik terutamanya terhadap pemimpinUMNO. Apakah pulak langkah – langkah pencegahan yang bakal diambil oleh Perdana Menteri yang dilibatkan semakin hari semakin kelesuan melawan kritikan demi kritikan di persada pentas politik tanahair.

Dalam isu yang mengemparkan ini “Subject Matter” ada berkaitan kewujudan sebuah Syarikat iaitu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dipertanggungjawabkan melaksanakan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) bagi tujuan mengeluarkan produk daging tempatan yang berkualiti tinggi pada tahap komersial dan syarikat ini tiada kena mengena dengan Kerajaan. Mungkin melalui pengaruh kuasa politik pihak kerajaan persekutuan telah menyalurkan pinjaman mudah sebanyak RM250 Juta kepada Syarikat berkenaan bagi tujuan industri penternakan sepertimana yang dimaklumkan oleh Menteri Pertanian bahawa dalam tabung khas itu masih berbaki RM69 Juta selepas bayaran RM181 Juta berdasarkan kepada tuntutan dibuat oleh pihak (NFC) perlu disedari bahawa setiap pembayaran adalah memerlukan pengesahan daripada Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Veterina dan Kementerian Kewangan.

Perkara berbangkit disini yang menjadi Crux of the case tentang kewujudan yang nyata ke atas Pembelian sebuah Kondominium yang bernilai RM9.8 Juta bertempat di One Menerung, Bangsar dikatakan pembelian hartanah berkenaan adalah bagi mendapatkan pulangan pelaburan memandangkan projek lembu Feedlot oleh NFC mengalami kelewatan operasi. Perlu diingat bahawa modus operandi syarikat NFC untuk mendapatkan pinjaman modal berkenaan adalah bagi tujuan industri penternakan dan bukannya pelaburan hartanah. Secara tidak langsung telah wujud situasi penyelewengan dan pecah amanah yang melampaui keraguan munasabah.

Pihak KMPP melihat senario tersebut secara positif di mana seperti umum mengetahui bahawa pegawai tertinggi yang meneraju syarikat NFC adalah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita iaitu Dato Sharizat Abdul Jalil. Walauapapun spekulasi yang timbul sehingga kononnya melibatkan soal penyelewengan dan pecah amanah, tempiasnya pasti terhadap Menteri berkenaan dimana beliau tidak boleh menafikan sama sekali bahawa tidak mempunyai pengetahuan tentang kewujudan NFC, begitu juga soal pinjaman modal oleh pihak Kerajaan dan pembelian kondominium mewah berkenaan.Masakan terlalu sibuk dengan urusan rasmi sehingga tiada masa bersama suami? Penafian beliau secara total bakal mengundang padah kepada parti pemerintah dan seterusnya mendatangkan liabiliti yang tidak berharga kepada negara kita. Orang –orang Melayu khususnya sedang menilai situasi ini secara serius.

Banyak pihak termasuk pemimpin politik khususnya dari UMNO masih memberi ruang dalam hal ini dan mahukan penjelasan terperinci terlebih dahulu daripada syarikat NFC terutamanya pengarah urusannya iaitu suami kepada Menteri berkenaan. Keadaan sebegini adalah urusan kedua terpenting. Tindakan yang bertanggungjawab dari Dato Sharizat Abdul Jalil selaku Menteri pusat adalah satu keperluan yang wajib bagi menyatakan pendirian beliau sebagai pemimpin kaum wanita yang bermaruah. Berdiam diri dalam hal ini bermakna beliau bersekongkol dengan suaminya demi menggunakan pengaruh beliau sebagai Menteri bagi tujuan mendapatkan pinjaman modal RM250 Juta berkenaan.

Sebagai seorang insan yang dilahirkan di Pulau Pinang beliau juga perlu membersihkan imejnya khususnya kepada orang Melayu disini. Oleh yang demikian pihak KMPP dengan ini dalam situasi tanpa prasangka mencabar beliau supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Kerajaan Pusat disebabkan beliau tidak layak dan telah kehilangan kepercayaan rakyat adalah dikhuatiri akibat daripada insiden tersebut bakal mengundang padah terhadap kerajaan pusat menjelangnya PRU 13 nanti oleh yang demikian beliau tiada pilihan selain meletakkan jawatannya. Perlu diingat mandat dari rakyat adalah amat berharga dan tiada nilainya.

Selasa, 15 November 2011

KMPP DESAK KERAJAAN NEGERI WUJUD DANA PERUMAHAN MAMPU MILIK


Isu perumahan mampu milik terutamanya rumah kos sederhana rendah dan kos rendah bagi golongan pendapatan sederhana ke bawah adalah dilihat sebagai isu utama dan terpenting bagi rakyat negeri Pulau Pinang terutamanya orang-orang melayu. Setelah begitu banyak pertelingkahan yang dibangkitkan dalam memperkatakan mengenai isu berkenaan. Dalam hal ini pihak KMPP percaya bahawa kerajaan negeri melalui mandat rakyat pasti menjadikan isu perumahan mampu milik tersebut sebagai agenda terpenting yang wajib disempurnakan.

Walaupun sehingga ke hari ini adalah dilihat bahawa pembinaan rumah kos sederhana rendah serta kos rendah adalah dipertanggungjawabkan kepada pihak pemaju semata-mata, namum diatas kapasiti mereka untuk menunaikan syarat perancangan sudah pastinya mutu atau kualiti pembinaan adalah bersamaan yang lebih menjurus kepada “sosial obligation” sahaja. Ada ketikanya peraturan perancangan yang dikenakan oleh pihak kerajaan diterjemahkan sebagai bebanan kepada pihak pemaju kerana pihak mereka lebih berminat soal keuntungan semata-mata. Sesungguhnya pembinaan rumah mampu milik yang dibina sendiri oleh pihak kerajaan negeri adalah lebih berkualiti dengan mengambilkira kemudahan awam dan asas demi kepentingan rakyat yang memerlukan. Persekitaran yang kondusif dan ceria adalah keutamaan yang diutamakan untuk keselesaan semua.

Daripada semakan yang dibuat oleh pihak kami adalah didapati sejumlah yang melebihi 10,000 pemohon rumah kos sederhana rendah dan kos rendah telah berdaftar dengan pejabat perumahan negeri. Jika direnungkan adalah didapati permohonan semakin meningkat yang datangnya daripada kelima-lima daerah di negeri ini. Dengan jelas menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang yang berpendapatan RM2,500.00 kebawah adalah dilihat sebagai golongan majoriti yang kebanyakkannya adalah orang melayu. Tidak dapat dinafikan terdapat juga segelintir dari golongan tersebut terpaksa berhijrah keluar memandangkan kepada kesukaran mereka mendapatkan rumah murah di negeri ini.

Sudah sampai ke tahap kritikal dimana pihak kerajaan negeri menilai semula situasi berikut jika benar-benar berhasrat untuk membantu golongan sederhana berkenaan. Tidak dapat dinafikan bahawa usaha kearah tersebut akan dipikul oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di kawasan Batu Kawan tetapi komitmen kerajaan negeri dalam isu berkenaan masih menjadi tanda tanya.

Justeru itu, pihak KMPP mencadangkan serta mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP supaya dalam situasi yang munasabah dapat memperuntukkan sebahagian peruntukan hasil daripada penjualan tanah seluas 41 hektar  yang bernilai lebih kurang RM1.07 billion di Bayan Mutiara kepada pihak Ivory Properties/Dijaya Corporation tersebut bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik terutamanya pembinaan rumah sederhana rendah dan kos rendah. Cadangan tersebut dianggap realistik serta tepat pada masanya di dalam menjawab semua kritikan terhadap isu berkenaan. Tambahan pula peruntukan berkenaan adalah hasil daripada sumber ekonomi negeri tanpa meminta-minta daripada pihak ketiga. 

Cadangan pihak KMPP ini adalah dibuat memandangkan kepada situasi kritikal terutamanya melibatkan rakyat yang berpendapatan rendah khususnya orang melayu. Jika sudah ada peruntukan maka soal implimentasi bagi tujuan berkenaan akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan di kesemua lima daerah negeri ini.

Sesungguhnya inilah komitmen pihak KMPP di dalam memberi cadangan ini tanpa perlu berdemonstrasi di tepi jalan serta menjadi balaci kepada pihak-pihak tertentu dengan mendapat sedikit upah tetapi sebenarnya pada waktu yang sama meletakkan maruah orang-orang melayu di tahap yang terendah serta hina oleh bangsa-bangsa lain.

Justeru itu cadangan ini dibuat terus kepada kerajaan negeri dan pihak KMPP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutamanya pemimpin-pemimpin politik melayu samada daripada UMNO ataupun Pakatan Rakyat yang cuba mempersoal atau mempolitikkan cadangan pihak kami ini. Mandat dari rakyat adalah bagi melindungi mereka dan bukannya menjahanamkan mereka.

Rabu, 9 November 2011

PESTA DEMONSTRASI HARAM – PERKARA 153 PERLEMBAGAAN DICABUL

Semenjak bulan March 2008 sehinggalah sekarang semakin menjadi-jadi episod perjuangan yang kononnya membela nasib-nasib orang-orang melayu melalui demonstrasi jalanan. Jika diimbas kembali siri-siri demonstrasi yang telah dijalankan setakat ini, tiada satu pun keuntungan atau hajat pejuang jalanan berkenaan direstui oleh pihak Kerajaan Negeri. Disebalik aktiviti-aktiviti tersebut dirasakan hanya pihak penganjur sahaja yang mendapat keuntungan peribadi sedangkan Pak Turut atau “Balaci” yang meramaikan demonstrasi berkenaan hanya mendapat sedikit upah sahaja.

Apa yang amat mendukacitakan adalah sikap penganjur ataupun “funder” dibelakang aktiviti tersebut lebih gemar memilih hari Jumaat untuk berdemonstrasi, Sedangkan mereka juga adalah orang melayu yang beragama Islam. Tidakkah mereka sedar atau sengaja memilih hari Jumaat yang dijadikan hari suci orang Islam bagi melaksanakan kerja-kerja haram tersebut? Mereka perlu sedar dengan meletakkan maruah orang-orang melayu ditepi jalan dengan niat untuk menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah itu adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun dan dipandang hina oleh golongan bukan melayu. Persoalannya wajarkah pihak pemerintah melayan karenah mereka ini yang menyampaikan masalah orang-orang melayu Pulau Pinang secara gerakan fizikal jalanan? Dimanakah adat melayu yang selalunya diselesaikan secara bermuzakarah? Situasi keatas demonstrasi jalanan timbul adalah lebih mengarah kepada permainan politik yang ketandusan kuasa. Tidak dapat dinafikan terdapat petualang dikalangan pemimpin melayu tidak kira daripada UMNO ataupun Pakatan Rakyat dengan cara menggunakan kekuatan imuniti mereka rela mempergunakan anak-anak muda melayu bagi mencapai realiti politik pemimpin-pemimpin tertentu ini.

Terbaru umum mengetahui bagaimana hari Jumaat sekali lagi diterjemahkan episod demonstrasi berkenaan dan kali ini melibatkan lebih kurang 200 buah motorsikal yang tidak diketahui dari mana datangnya penunggang-penunggang berkenaan telah membuat kacau dari karangan KOMTAR hingga ke DEWAN UNDANGAN NEGERI kerana mendesak pemerintah membina Litar Lumba untuk mereka dan yang lucunya pihak penganjur sendiri tidak tahu lokasi yang hendak dipohon. Bayangkan hanya kerana memohon litar lumba, anak-anak muda ini telah dipergunakan dan pihak KMPP percaya ada diantara peserta tersebut tidak langsung mengetahui tujuan mereka berdemonstrasi. Mungkin mereka lebih tertarik kepada imbuhan minimum yang dijanjikan oleh penganjur. Dalam hal sedemikian siapa yang mengaut keuntungan, Balaci atau Penganjur? Secara asasnya pihak KMPP yakin bahawa semakin banyak pesta demonstrasi haram di Pulau Pinang maka ianya semakin meletakkan maruah orang-orang melayu disini ketahap terendah dan sesungguhnya kebanyakkan melayu disini yang hampir 640,000 orang ini tidak pernah bersetuju dengan cara demonstrasi jalanan bagi menyelesaikan masalah mereka di negeri ini.

Dengan fenomena baru iaitu berdemonstrasi dengan menggunakan motorsikal tanpa dilindungi  insuran dan permit Polis. Justeru itu, adalah dilihat sebagai nyawa pemuda melayu bukanlah keutamaan malah keuntungan politik pihak-pihak tertentu adalah lebih diutamakan. Tidak dapat dinafikan sepanjang peserta demonstrasi di negeri ini berlaku, dilihat seperti ada ruang kelonggaran dari sudut undang-undang ketenteraman awam yang tidak diberi perhatian oleh pihak PDRM. Jika ada ketegasan keatas demonstrasi ini yang tidak mempunyai permit, pihak saya yakin perbuatan tersebut dapat dibendung. Demonstrasi jalanan ini akan terus berlaku sehingga ke pilihanraya nanti dan jika gejala ini tidak dibenteras mengikut lunas undang-undang yang sedia ada adalah dikhuatiri ianya bakal memberi impak negatif kepada pelancong asing di negeri ini.

Pihak KMPP juga hairan mengapa tiada langsung pemimpin-pemimpin melayu disini mahupun NGO-NGO melayu terutamanya PERKASA yang kononnya menunjangi masalah sosial ekonomi melayu tampil memberi pandangan mereka serta nasihat supaya hari Jumaat tidak digunakan sebagai hari memberontak serta apakah faedahnya yang melayu dapat hasil daripada berdemonstrasi ditepi jalan. Berdiam diri dalam hal ini seakan mereka bersekongkol dan rela melihat masyarakat melayu terus dipinggirkan.

Dalam negara yang demokrasi ini, pihak saya yakin sesiapa saja yang menjadi pemerintah akan sudi mendengar rintihan orang-orang melayu disini dengan cara yang munasabah dan bermuzakarah tetapi dan bukannya dengan pemberontakan ditepi jalan, longkang dan sebagainya.

Orang melayu Pulau Pinang sudah tiada masa untuk melayan pemimpin melayu dinegeri ini berpolitik. Mandat yang diberikan menerusi pilihanraya adalah bagi melindungi mereka dan bukannya menjanahamkan mereka. Akibat daripada kesan demonstrasi jalanan tersebut hanya akan merugikan melayu Pulau Pinang. Perbuatan tersebut hendaklah dihentikan demi anak bangsa kita. Jangan sampai nanti bangsa lain memandang hina kepada orang-orang melayu.

Pemimpin-pemimpin melayu harus sedar dalam mempertahankan hak-hak orang melayu sebenarnya mereka adalah berperanan sebagai membantu sahaja. Jangan lupa kepada Perlembagaan Negara kepada perkara 153 bahawa mempertahankan kuasa dan hak orang-orang melayu adalah merupakan kuasa mutlak Yang Di Pertuan Agong yang tidak boleh dipertikaikan walaupun di Parlimen. Kalaupun berhendakkan kuasa politik melalui demonstrasi jalanan jangan sampai maruah melayu tergadai hingga boleh menyebabkan keterlanjuran mereka boleh menyebabkan menderhaka kepada Yang Di Pertuan Agong dan akhirnya merugikan orang-orang melayu itu sendiri.

Pada kesempatan ini pihak KMPP dengan serius menyeru kepada Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Parti DAP supaya tidak memandang ringan terhadap masalah ekonomi orang-orang melayu disini. Jika kepentingan melayu yang dianggap minoriti berkenaan gagal diberi perhatian, pihak saya yakin pihak pentadbiran Kerajaan Negeri akan menhadapi tekanan emosi politik yang tidak menentu. Berikan perhatian yang serius keatas apa jua memorandum yang telah dikemukakan jika ianya mampu dalam situasi yang munasabah dapat meningkatkan soal politik dan sosial ekonomi orang-orang melayu dinegeri ini.

Dalam konteks berkenaan pihak KMPP dalam satu memorandum yang mengandungi lima (5) perkara yang kini dalam penelitian Y.A.B Ketua Menteri telah mencadangkan diantaranya supaya dapat diwujudkan Majlis Rundingan Ekonomi Melayu Pulau Pinang (MREMPP) sebagai payung ekonomi orang-orang melayu dimana pengerusinya mestilah berstatus Exco dan hanya dengan itu sahajalah semua permasalahan yang berbangkit khususnya soal ekonomi orang melayu dapat dibawa terus ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Episod demonstrasi jalanan haram berkenaan berkemungkinan besar dapat dibendung jika wujudnya Majlis Rundingan tersebut. Selama ini tidak ada saluran khusus bagi mendengar serta melaksanakan dalam situasi yang munasabah agenda ekonomi melayu Pulau Pinang. Cadangan pihak KMPP harus dilihat dari sudut positif serta praktikal dalam situasi kritikal ini dan amat relevan dilaksanakan jika benar Kerajaan Negeri begitu prihatin dalam menangani isu ekonomi orang-orang melayu Pulau Pinang.   

Selasa, 1 November 2011

SETIAUSAHA KMPP MINTA PERKASA KEMBALI KE PANGKAL JALAN PERJUANGAN NGO


Presiden KMPP Rahmad Isahak tidak pernah mengatakan bahawa PERKASA tidak relevan kepada orang – orang Melayu tetapi sebaliknya beliau mempersoalkan kredibiliti halatuju PERKASA dan jangan sampai NGO Melayu tersebut dianggap sebagai liabiliti dan bukannya realiti kepada orang-orang Melayu. Jangan selesa dalam senyap kerana mendapat immuniti daripada pihak-pihak tertentu sehingga sanggup memperlekehkan ahli-ahli mereka yang kononnya seramai 300,000 itu mampu menjadi penentu kepada pilihanraya yang akan datang.

Perlu saya tegaskan disini bahawa kenyataan Presiden KMPP adalah lebih menghala kepada kritikan membina yang harus dipandang serius oleh pihak PERKASA. Pihak saya amat memahami situasi PERKASA kerana mereka tidak pernah mengalami sebarang kritikan sebelum ini apatah lagi daripada NGO Melayu.

Pihak saya meneliti kepada kritikan dan cabaran dari PERKASA khususnya daripada kenyataan Setiausaha Agungnya semalam bahawa KMPP suka menuding jari  untuk mencari kesalahan pihak PERKASA yang kononnya tidak relevan kepada orang-orang Melayu. Tidak perlu menilai sejarah PERKASA semenjak penubuhannya kerana memang tiada apa-apa keuntungan yang diperolehi oleh orang-orang Melayu khususnya orang-orang Melayu Pulau Pinang. Memang tidak dapat dinafikan ramai Melayu telah berhijrah keluar daripada negeri ini sebelum bulan March 2008 lagi. Selepas tarikh tersebut dirasakan jumlah yang ingin kembali ke Pulau Pinang semakin meningkat memandangkan kepada senario pembangunan yang begitu pesat.

Soal perumahan murah untuk golongan sederhana kebawah adalah menjadi agenda terpenting pihak KMPP dimana pihak kami telah mengemukakan satu memorandum yang mengandungi lima (5) perkara kepada Ketua Menteri diantaranya mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat menyediakan dana pinjaman tanpa faedah bagi tujuan bayaran 10% untuk membolehkan golongan melayu yang berkelayakkan mempunyai rumah sendiri. Konsep cadangan tersebut bukan sahaja menyenangkan melayu malah ianya dapat dinikmati 40% kepada golongan bukan melayu.

Perlu ditegaskan adalah sesuatu yang amat malang sekali apabila pihak PERKASA gagal menilai kewujudan KMPP yang secara sah telah didaftarkan pada 16/2/2011. Praktikkanlah mental terlebih dahulu jangan dangkal fikiran hilang pedoman. Jika beginilah cara PERKASA beroperasi, bagaimana mereka dapat membantu orang-orang Melayu? Jangan suka melompat-lompat dalam membuat tafsiran keatas sesuatu semak dahulu baru buat kenyataan. Pihak KMPP tidak pernah mengharapkan mana-mana pihak membantu kami apatah lagi untuk kepentingan peribadi. Biarlah umum menilai prestasi KMPP apabila sampai masanya nanti. Pihak PERKASA tidak perlu menjaga tepi kain orang sebaliknya memberi fokus kepada pemimpin-pemimpin mereka yang sering melompat-lompat diatas pentas politik.

KMPP adalah badan NGO Melayu yang setanding dan lebih hebat dari PERKASA kerana itulah KMPP berani menegur PERKASA pada hari ini dan bukan kerana sebab lain atau siapa ada di belakang KMPP. Pihak KMPP akan sentiasa NEUTRAL dalam perjalanannya sebagai sebuah NGO Melayu yang prihatin terhadap masalah Melayu khususnya di Negeri Pulau Pinang.    

Sebagai seorang Peguam di dalam KMPP saya berpendapat jika benar seperti apa yang dikatakan oleh PERKASA bahawa mereka berpegang dan berjuang mengikut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia maka seharusnya mereka memahami Perkara 153 Perlembagaan Malaysia terlebih dahulu sebelum memulakan langkah ke arena politik. Perkara 153 Perlembagaaan Malaysia tidak langsung berkompromi hal–hal politik dan ianya merupakan kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong bagi mempertahankan kuasa dan hak orang–orang Melayu yang tidak boleh di pertikaikan walaupun di Parlimen. PERKASA merasakan diri mereka adalah benteng orang–orang Melayu maka kembalilah ke posisi mereka agar teguh tanpa di affiliate kan atau digunakan oleh mana–mana parti politik yang ada kepentingan padanya. Harus juga mereka faham mereka adalah sekadar membantu mempertahankan kuasa dan hak orang–orang Melayu dan tanggungjawab mereka adalah besar dan jika GAGAL berbuat demikian sudah tentulah seperti menderhaka kepada Yang di Pertuan Agong dan akan merugikan orang–orang Melayu sendiri.

Kami anak-anak Melayu Pulau Pinang sudah muak dan jemu kerana terlalu banyak pemimpin-pemimpin Melayu yang suka bermain politik tanpa mengubah nasib orang – orang Melayu. Sudah sampai masanya kesemua pemimpin-pemimpin melayu kurangkan masa bercakap tetapi melipat gandakan usaha kearah membantu mempertingkatkan soal sosial ekonomi Melayu khususnya di Pulau Pinang. Bagi PERKASA pula diharap badan NGO ini kembali ke pangkal jalan dimana perlu menolong dan membantu menaikkan taraf sosial ekonomi orang-orang Melayu dan bukannya berpolitik. Ini tidak menguntungkan orang-orang melayu malah menimbulkan cemuhan kepada masyarakat melayu sekeliling dan mana mungkin boleh kita menjadi role model jika kita ada sikap sebegini yang ultranasionalis.