Rabu, 27 Julai 2011

KMPP MENDESAK KERAJAAN NEGERI PERJELASKAN ISU RUMAH MAMPU MILIK


Sepertimana dilaporkan oleh akhbar tempatan bertarikh 26/7/2011 dimana Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang iaitu Datuk Zainal Abidin Osman bahawa Kerajaan Negeri tidak berlaku adil dalam meluluskan projek Perumahan mampu milik ini termasuk kos sederhana Rendah serta kos rendah yang dibangunkan oleh Agensi Kerajaan Pusat. Ini tambah merumitkan kerana setiap pembinaan rumah kos rendah dan sederhana tersebut di rujuk terlebih dahulu kepada One Stop Agency (OSA) sedangkan projek rumah mewah hanya perlu mendapat kelulusan PBT dan tidak perlu melalui OSA.

Beliau juga turut memberi kenyataan bahawa di atas suasana birokrasi maka mengakibatkan rakyat berbilang kaum di negeri ini terutamanya yang berpendapatan rendah menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri. Seterusnya dalam kenyataan tersebut beliau turut memaklumkan bahawa semenjak Kerajaan sekarang menerajui negeri ini tiada seunit pun rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah di bina.

Pihak KMPP amat memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Datuk Zainal Abidin Osman tersebut. Jika terbukti benar kenyataan beliau maka ianya merupakan satu penganiayaan oleh Kerajaan Negeri terhadap rakyat yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Apakah benar Kerajaan Negeri tidak pernah membina rumah kos rendah dan sederhana Rendah untuk rakyat Negeri ini dan benarkah kerajaan negeri mula mempolitikkan setiap projek yang dimajukan oleh agensi Kerajaan Pusat. Apakah kenyataan tersebut juga merupakan satu jarum suntikkan untuk mengelirukan rakyat Negeri ini dan sejauh manakah pencapaian Kerajaan Negeri dalam menangani permasalahan tersebut.

Pihak saya lebih fokuskan kepada keadaan orang – orang Melayu dan kita takut jikalau suatu hari nanti orang Melayu hanya akan menjadi penyewa terhormat jika mereka gagal memiliki rumah mampu milik tersebut diatas situasi permainan politik murahan oleh pihak – pihak tertentu. Apakah kerajaan negeri begitu zalim kepada rakyat negeri ini yang berpendapatan sederhana kebawah dan mungkin juga mereka dizalimi permainan politik kotor oleh golongan terhormat.

Oleh yang demikian pihak KMPP mendesak kerajaan Negeri memberikan penjelasan yang terperinci terhadap kenyataan yang dibuat berkenaan terutamanya soal perumahan kos rendah dan sederhana rendah supaya rakyat dapat menilai serta memahami keadaan sebenar samada mereka ditindas atau sebaliknya. Kerajaan negeri harus bertanggungjawab jika benar seperti mana tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin UMNO berkenaan.

Rabu, 20 Julai 2011

BAZAR PERDANA DATO MUSA DIDESAK LAGI


Masalah pembeli – pembeli unit di Bazaar Perdana, Bandar Perda, Bukit Mertajam telah berlarutan lebih dari 7 tahun  dan sehingga saat ini pemaju berkenaan ASEANIA DEVELOPMENT SDN BHD yang diterajui oleh Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam tidak langsung mengambil sebarang inisiatif bagi tujuan memulihkan operasi Bazaar Perdana berkenaan. Masalah tersebut lebih menjurus kepada soal ekonomi lebih 85% peratus pembeli – pembeli adalah dari kalangan orang Melayu di sekitar kawasan Bukit Mertajam.

Pihak KMPP diminta oleh segelintir pembeli – pembeli bagi menyuarakan masalah serta hak mereka yang di pinggirkan oleh pemaju Melayu yang langsung tidak prihatin terhadap isu berkenaan. Difahamkan kesemua unit- unit yang dianggarkan hampir 1000 unit telah habis dijual diantara RM15,000-00 hingga RM20,000-00. KMPP melihat isu ini sebagai satu penganiayaan ekonomi yang berpanjangan terhadap pembeli-pembeli Melayu yang berkenaan.

Dari maklum balas yang diterima daripada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai bahawa bangunan Bazaar Perdana berkenaan tidak pernah di serah kepada pihak Majlis dan ini bermakna pemaju bertanggung jawab untuk mengurusnya dan sehingga kini tiada permohonan strata dibuat walaupun selepas tujuh tahun Sijil Penghunian diberikan oleh pihak berwajib.

Sebagai sebuah NGO Melayu yang sah serta neutral di Negeri Pulau Pinang dan soal sosial ekonomi orang – orang Melayu Pulau Pinang menjadi objektif utama maka pihak KMPP dengan ini mendesak sekeras-kerasnya Dato’ Musa Sheikh Fadzir selaku peneraju utama Syarikat pemaju berkenaan dalam tempoh 30 hari menyelesaikan masalah pembeli – pembeli terbabit serta mencari pendekatan terbaik untuk mengaktifkan semula perniagaan di Bazaar Perdana tersebut. Kegagalan beliau berbuat demikian akan membawa kepada usaha KMPP untuk memohon kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Ketua Menteri campurtangan bagi menyelesaikan kemelut ekonomi pembeli – pembeli Melayu di kawasan Bukit Mertajam yang ditinggalkan oleh pemaju ASEANIA DEVELOPMENT SDN BHD.

Pihak KMPP tidak akan berkompromi dengan mana – mana pihak yang cuba memperlekehkan soal ekonomi orang – orang Melayu.    


Selasa, 5 Julai 2011

KMPP POHON PERDANA MENTERI MEMBUBARKAN PARLIMEN MALAYSIA


Pihak KMPP memandang serius akan situasi yang tidak menentu sejak kebelakangan ini di mana ada hubungkait dengan kehendak rakyat yang mana secara langsung melibatkan soal pentadbiran negara. Sejauh mana kebenaran dan kehendak sebahagian rakyat Malaysia ini yang mahukan suatu transformasi amatlah mengelirukan kerana ianya diterjemahkan melalui cara revolusi fizikal atau lebih tepat lagi menerusi demonstrasi jalanan. Tambah menyedihkan keadaan adalah penyertaan golongan ini diterajui oleh mereka yang bertaraf professional serta yang mahir dalam soal perundangan Negara. Mereka menggelarkan agenda mereka sebagai perhimpunan bersih. Bandaraya Kuala Lumpur kononnya akan dijadikan sebagai tapak pesta mereka.

Semenjak isu perhimpunan bersih tersebut meletus ianya bagaikan satu jangkitan kuman merebak ke beberapa ceruk lokasi dimana ada golongan yang bersetuju serta terdapat yang tidak bersetuju namun ianya terus diterjemahkan didalam bentuk demonstrasi jalanan. Dalam hal ini pasukan keselamatan terutamanya Polis Diraja Malaysia terpaksa menjadi mangsa bagi mengawal keselamatan serta lalulintas yang penuh dengan kesesakan. Apakah pihak keselamatan ini akan terus menjadi mangsa selepas tarikh 9hb Julai 2011 dan mungkinkah demonstrasi jalanan akan berakhir selepas tarikh tersebut.

Pihak KMPP adalah sebuah platform NGO Melayu yang hanya memperjuangkan masalah social ekonomi orang – orang Melayu Pulau Pinang serta berpegang pada prinsip neutral tanpa menyebelahi mana – mana pihak dan dalam hal berkenaan KMPP berpendapat jikalau situasi yang tidak menentu ini berlarutan ianya bakal mengundang kepada suatu penganiayaan ekonomi orang – orang Melayu dalam suatu jangka masa berpanjangan. Perkara yang sama turut akan berlaku kepada bukan Melayu. Kakitangan awam serta swasta dan para peniaga, usahawan malah semua insan yang diiktiraf sebagai rakyat Malaysia sekarang ini berada didalam dilema. Keharmonian berbilang bangsa didalam sesebuah negara yang aman lagi makmur adalah mandat yang diberikan kepada Pentadbir Negara.

Seluruh rakyat negara Malaysia tidak pernah lupa kepada pergolakan yang telah menjadi reality dibeberapa negara timur tengah Sebagai sebuah negara yang bersandarkan sistem demokrasi mengikut lunas – lunas Perlembagaan Persekutuan maka slogan rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan haruslah diterjemahkan secara positif dalam mengharungi situasi sekarang. Kembalikan kuasa kepada rakyat.

Oleh yang demikian pihak KMPP memohon serta mencadangkan supaya Y.A.B Dato Seri Najib Tun Haji Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang dikasihi supaya mendapatkan perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong bagi tujuan membubarkan Parlimen Malaysia dan memberi laluan kepada pilihanraya umum ke 13 diadakan.

Pihak saya berpandangan jika rakyat didahulukan maka satu pencapaian akan diutamakan menerusi amanah serta mandat dari rakyat Malaysia dan menerusi revolusi mental sahajalah yang akan dapat menyelesaikan segala isu serta permasalahan yang timbul. Luka yang kecil akan menjadi lebih parah jika tidak dirawat diperingkat awal.