Selasa, 31 Mei 2011

KMPP: ARIF IBRAHIM AKTIVIS JALANAN

Tindakan NGO Persatuan Suara Anak-Anak Malaysia Pulau Pinang memang memalukan Melayu bukan sekali dua tetapi beberapa kali. Ianya satu tindakan yang dipandang rendah oleh rakyat yang berfikiran waras dan mempunyai pegangan agama dimana Rasullah S.A.W sendiri tidak pernah membuat demonstrasi jalanan membabi buta.

Demonstrasi oleh NGO ini adalah perbuatan yang diimport dari sesetengah negara luar dimana Islam bukan nilai yang disanjungi. Seorang aktivis seperti Arif Ibrahim yang berselindung dibelakang NGO adalah aktivis jalanan yang sesat dimana beliau sendiri keliru apa itu perjuangan demonstrasi jalanan jika dibandingkan dengan revolusi mental yang hala tujunya memberi lebih keberkesanan.

Beliau percaya kepada NGO yang dipimpin oleh Ghani sudah menunjukkan beliau tidak faham erti perjuangan dan kepercayaan. Kita orang Islam hanya boleh percaya kepada Allah. Apa yang didengar melalui Ghani mungkin tidak betul dan tidak tepat keseluruhannya dan rakyat Pulau Pinang tahu apa perjuangan Ghani. Adakah ianya mengikut lunas-lunas Islam atau kepentingan peribadi? Segelintir Melayu yang tidak faham secara mendalam apa agenda Ghani memakan diri sendiri dengan tindakan-tindakan beliau kerana mereka ini tidak lebih pandai daripada Ghani sendiri.

Arif memperkatakan bahawa mereka membawa suara orang Melayu tetapi tindakan mereka adalah tindakan yang tidak bertamadun. Contohnya yang di import daripada negara India dan Pakistan. Suara Melayu sepatutnya berkumandang di Dewan Negeri, Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan bukannya di tepi jalan mengancam serta mengganggu ketenteraman awam. Jangan salahkan Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat. Salahkanlah diri sendiri yang sepatutnya menentukan kerajaan. Suara pilihan ramai adalah penentunya dalam Negara yang berdemokrasi. Beliau atau Ghani boleh bertanding secara bebas atau memasuki mana-mana parti politik untuk membuktikan populariti beliau di dalam pilihanraya yang akan datang.

Tindakan beliau kini hanya mencari publisiti murahan. Arif menuduh KMPP buta sejarah adalah membuka pekung di dada sendiri. KMPP berasa malu bahawa beliau merujukkan kepada zaman sebelum merdeka. Sebelum merdeka,Melayu di bawah telunjuk British atau orang putih. Kemerdekaan kita dicapai dimeja rundingan di London antara Tunku dan rakan-rakan seperjuangannya dengan British yang direstui oleh Queen Elizabeth. Tunku dan rakan-rakan tidak membuat apa-apa demonstrasi jalanan di hadapan Istana Buckingham atau membawa keranda kesana dan kemari untuk menuntut kemerdekaan. 

Tentang tindakan Pakatan Rakyat terdahulu dan sekarang itu hal mereka. Mereka bukan semuanya datang daripada orang Melayu atau orang Islam. Sekiranya mereka juga mengikut tindakan yang dilakukan seperti Ghani atau NGO lain, mereka juga akan mendapat kecaman yang sama daripada KMPP. KMPP tidak memilih bulu dan peduli parti atau persatuan yang tidak mengikut lunas undang-undang. KMPP tetap akan tegur dan menasihati mereka. Berjemur ditengah panas dan menjerit tanpa tujuan telah dilakukan oleh Persatuan Suara Anak-anak Malaysia dan Arif Ibrahim sendiri. Kenyataan Arif adalah tidak benar dan tidak tahu apa berlaku disekeliling beliau dan mungkin diperalatkan oleh Ghani kerana tahap pemikiran aktivis-aktivis ini boleh dipersoalkan. 

Isnin, 30 Mei 2011

PEMBANGUNAN RUMAH MAMPU MILIK UNTUK ORANG-ORANG MELAYU PULAU PINANG

Bercakap mengenai soal pembangunan di Pulau Pinang, hanya kawasan di sebelah pulau sahaja yang menjadi tarikan para pelabur terutamanya pelabur dari luar Pulau Pinang. Tambahan pula, kerajaan negeri begitu berhasrat untuk menjadikan pembangunan di kawasan pulau sebagai lawatan antarabangsa. Hasrat tersebut amatlah dihargai. Sebagai orang Pulau Pinang tentulah kita juga turut sama akan merasai tempias dari arus pembangunan tersebut disamping dapat menikmati sedikit sebanyak hasil pendapatan ekonomi terutamanya menerusi peluang-peluang pekerjaan khususnya untuk orang-orang Melayu.

Hakikatnya itulah apa yang akan berlaku untuk pembangunan di kawasan pulau. Persoalannya berapa ramaikah orang Melayu yang mampu memiliki rumah di kawasan pulau? Apakah orang Melayu hanya layak tinggal di rumah pangsa kos rendah sahaja? Soal penjualan tanah-tanah melayu kepada pemaju perumahan tidak dapat disekat dan tidak ada peruntukkan dari segi undang-undang untuk mengatasinya. Akhirnya akan tiba ketika majority orang-orang Melayu hanya menjadi penyewa terhormat sahaja. Pihak KMPP begitu prihatin akan situasi begini. Apakah tidak ada jalan alternatif untuk orang-orang Melayu mempunyai rumah mampu milik di kawasan pulau?

Pihak KMPP memandang serius kepada masalah ekonomi sosial dan kebajikan orang-orang Melayu Pulau Pinang. Isu tanah orang-orang Melayu di Pulau Pinang telah menjadi syarat untuk dijadikan iktibar. Maka perlulah KMPP atas desakan situasi tersebut ingin mencadangkan supaya bagi member peluang kepada orang-orang Melayu Pulau Pinang memiliki rumah, mengapa tidak pernah kerajaan negeri yang amat prihatin  dengan nasib orang Melayu dapat melonggarkan syarat-syarat pembangunan di atas tanah-tanah jelapang padi di lokasi-lokasi strategik bagi tujuan pembangunan tersebut. Ramai orang-orang Melayu di kawasan tanah besar yang tertanya-tanya dimanakah pembangunan mampu milik untuk mereka di kawasan Seberang Perai? Kenapa hanya difokuskan soal pembangunan hanya di kawasan pulau sahaja?

Banyak kawasan jelapang padi yang strategik untuk tujuan pembangunan yang tidak diusahakan di beberapa lokasi terutamanya di daerah Seberang Perai Tengah sebagai contoh kawasan Permatang Pauh. Tanah-tanah padi tersebut tersebut boleh diistilah hidup segan mati tak mahu ini ialah kerana aktiviti sawah padi hanya bergantung kepada subsidi pihak kerajaan semata-mata. Jika tanah-tanah ini dapat dimajukan sudah pasti kemampuan untuk orang Melayu memiliki rumah mampu milik akan tercapai.

Oleh yang demikian, pihak KMPP memohon kerjasama pihak kerajaan negeri dapat melonggarkan syarat ke atas permohonan pengezonan semula rezoning tanah jelapang padi ini kepada majoriti orang-orang Melayu dan seterusnya bukan Melayu untuk memiliki rumah mampu milik. Perbandingan hanya tanah di kawasan pulau dari tanah besar adalah seperti langit dengan bumi. Jika cadangan oleh pihak KMPP dapat dipertimbangkan oleh kerajaan negeri maka ianya sudah pasti akan memberikan satu impak yang sihat di mana pulangan pendapatan kepada kerajaan tempatan dan kerajaan negeri, wakil dari cukai tanah, cukai pintu serta lain-lain sumber. Dan pada waktu yang sama bukan saja orang-orang Melayu dapat memiliki rumah mampu milik malah banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Justeru itu, pihak KMPP juga ingin merujuk kepada situasi geo-politik di kawasan Balik Pulau dan tanah besar yang mana majoritinya adalah orang-orang Melayu dan golongan ini kebanyakannya adalah dari golongan yang mempunyai pendapatan sederhana di mana pihak mereka hanya mampu memiliki rumah dari nilai RM250 000 ke bawah.

Menilai dari aspek-aspek berkenaan, pihak KMPP hairan kenapakah tidak ada usaha kea rah tersebut oleh pemimpin-pemimpin Melayu kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat bagi memenuhi keperluan orang-orang Melayu memiliki rumah mampu milik. Orang-orang Melayu Pulau Pinang tidak ada masa untuk menilai sengketa fitnah memfitnah tanpa bukti yang nyata oleh pemimpin Melayu semata-mata kerana gilakan kuasa hingga soal ekonomi, kita bukan lagi menjadi agenda penting. Kikislah ideologi politik malah bersatulah jika ingin melihat orang-orang Melayu terus bertapak di Pulau Pinang. Jangan sampai satu hari nanti orang-orang Melayu Pulau Pinang hanya menjadi penyewa terhormat ke atas hak milik bangsa lain. Belum terlewat lagi, pihak KMPP tiada hasrat menyalahkan mana-mana pihak. Perjuangan untuk membela nasib orang-orang Melayu dalam situasi munasabah harus diteruskan.

Isnin, 16 Mei 2011

ISU AGAMA KRISTIAN MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN


LAPORAN POLIS OLEH SAUDARA MOHAMED RAZALI BIN ABDUL RAHMAN PADA 13/5/2011 ISU AGAMA KRISTIAN MENJADI AGAMA RASMI PERSEKUTUAN

Pihak KMPP memandang serius terhadap laporan polis yang dibuat oleh saudara Razali pada 13/5/2011 yang mengakui bahawa beliau hadir pada majlis perjumpaan paderi-paderi SeMalaysia pada 5/5/2011 dan mengesahkan bahawa wujud agenda untuk menjadikan agama kritian sebagai agama rasmi Negara ini.

Persoalannya mengapakah beliau sendiri menemani Ahli Parlimen Jelutong YB Jeff Ooi (sepertimana dalam kenyataan akhbar The Star bertarikh 15/5/2011) bagi tujuan membuat laporan polis pada 8/5/2011 yang mana dalam laporan tersebut adalah bagi menafikan isu berkenaan. Pihak KMPP ingin mengetahui atas kapasiti apakah beliau hadir didalam perjumpaan tersebut?. Perjumpaan berkenaan bukanlah bersangkut paut dengan agenda Islam.

Justeru itu, jangan biarkan orang – orang Melayu berada dalam keadaan dilema kerana situasi ini melibatkan soal agama Islam. Mohamed Razali perlu menjelaskan secara terbuka lagi telus apakah sebenarnya berlaku dalam Majlis tersebut kerana beliau sendiri mengakui hadir dalam perjumpaan berkenaan. Apakah tindakannya melibatkan pihak ketiga sehingga memberi tekanan kepada beliau untuk membuat laporan polis?. Tindakan Mohamed Razali amatlah disanjung tinggi jika terbukti kebenarannya.

Walaubagaimanapun, jikalau terbukti laporan polis setelah siasatan dibuat serta penjelasan beliau nanti, maka pihak KMPP mendesak agar pihak Polis Diraja Malaysia menangkap mereka – mereka yang terlibat dan ini termasuk juga beberapa pemimpim DAP yang berperanan menjadikan agama kristian sebagai agama rasmi Negara ini.

Pihak KMPP tidak akan berkompromi dengan mana – mana pihak yang cuba memainkan sentiment perkauman terutamanya mempersoalkan serta cuba mencabul Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Khamis, 5 Mei 2011

BANTAHAN HANTAR MEMORANDUM DENGAN MEMANJAT PAGAR

“BANTAHAN HANTAR MEMORANDUM DENGAN MEMANJAT PAGAR.”

Pihak KMPP memandang serius tentang insiden yang berlaku di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kelmarin yang sepertimana dilaporkan oleh beberapa akhbar tempatan yang mana sekumpulan ahli–ahli yang mengelar diri mereka sebagai mewakili Persatuan Suara Anak–anak Malaysia Pulau Pinang. Apakah tindakan mereka ini menguntungkan orang–orang Melayu Pulau Pinang? Apakah dengan cara memanjat pagar dapat menyelesaikan masalah orang–orang Melayu?

Kalaupun memorandum yang hendak dihantar kepada Ketua Menteri atau  TYT melibatkan masalah orang–orang Melayu khasnya dan amnya rakyat di Pulau Pinang, mengapa harus tunggu sehingga sessi Dewan Undangan Negeri bersidang? Bukankah kita orang Melayu mempunyai adab yang dihormati oleh bangsa lain.

Justeru itu pihak KMPP amat berharap supaya Pengerusi Persatuan tersebut yang selama ini banyak menyusahkan orang–orang Melayu Pulau Pinang menghentikan tindakan beliau. Kita tidak rela melihat disebabkan tindakan segelintir melayu tanjung ini yang mempunyai agenda peribadi mengakibatkan maruah orang–orang melayu Pulau Pinang tercemar.

Mereka ini telah lupa kepada ilmu muzakarah secara mental, mereka lebih gemar menggunakan revolusi secara fizikal untuk menyelesaikan masalah. Umum mengetahui Negeri Pulau Pinang terdapat 5 Daerah tetapi amat mendukacitakan kerana terdapat sebahagian golongan di Daerah Timur Laut yang digelar sebagai Melayu Tanjung ini yang tak habis–habis memberi masalah kepada orang Melayu Pulau Pinang. Keharmonian orang melayu telah tercemar oleh tindak tanduk segelintir golongan ini.

Pihak KMPP menggesa pihak berkuasa terutamanya pihak polis tidak memberi ruang dan menguatkuasakan undang–undang yang sedia ada terhadap NGO–NGO Melayu yang tidak berdaftar sekiranya wujud dan menimbulkan kacau bilau serta ketenteraman awam yang sering berlaku kebelakangan ini.