Rabu, 18 Januari 2012

KMPP DESAK 11 ADUN UMNO PULAU PINANG ISTIHARKAN HARTA


KMPP  sangat mengalu - alukan pengistiharan harta oleh kesemua 10 EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk Y.A.B Ketua Menteri sendiri. Walaupun setelah hampir 4 tahun menjadi kerajaan namun janji untuk berbuat demikian telah ditunaikan. Tidak kisah berapa banyak harta serta nilai simpanan samada melalui saham atau sebaliknya telah pun diumumkan setelah diaudit oleh juruaudit yang bertauliah. Persoalannya sekarang adakah pengumuman berkenaan akan menjadi liabiliti atau kredit yang harus dinilai sendiri oleh rakyat Pulau Pinang. Setakat ini hasil daripada pengumuaman berkenaan adalah lebih menjurus kepada tanggung jawab pentadbir sebuah Kerajaan Negeri yang telus tanpa ada yang tersirat berasaskan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat negeri ini.

Rakyat Pulau Pinang perlu menilai situasi berkenaan dengan hati yang terbuka dan bebas menyuarakan pendapat mereka sekiranya terdapat kemusykilan tentang assest yang telah diumumkan oleh pentadbir kerajaan berkenaan. Difahamkan perolehan harta harta tersebut adalah hasil daripada pendapatan mereka sebelum terbentuknya Kerajaan Pakatan Rakyat semenjak 8.3.2008.

Mungkin tidak salah jika diterjemahkan bahawa inilah kali pertama dalam sejarah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dimana kesemua exconya secara berani dan telus mengistiharkan asset mereka secara rasmi untuk tatapan rakyat Negeri ini. Mungkin ada pihak-pihak tertentu yang tidak berapa gembira dengan pengistiharan tersebut yang dilihat sebagai memancing undi disaat- saat menjelangnya pilihanraya umum (PRU)-13. Hakikatnya bukanlah soal bila ianya diumumkan tapi sebaliknya obligasi kepimpinan Kerajaan Negeri kepada rakyat negeri ini adalah merupakan teori terpenting daripada melayan semua pandangan negatif yang hanya membuang masa.

Pihak kmpp mencadangkan agar sekirannya pakatan rakyat masih diberi mandat untuk memerintah selepas pilahanraya umum nanti maka kesemua ADUN dan Ahli Parlimen mereka mestilah juga mengistiharkan harta supaya secara telus rakyat negeri ini dapat menilai kedudukan mereka. Ini penting kerana status Yang Berhormat adalah wujud diatas pemberian ataupun kuasa daripada pengundi pengundi berkenaan. Situasi berkenaan jika dijadikan aktiviti tahunan akan lebih memperlihatkan kepada pencegahan rasuah dari segi kepimpinan yang menjurus kepada mewujudkan sebuah negeri yang setidak tidaknya bersih dari amalan rasuah.

Dalam amalan sistem demokrasi negara ini tidak salah jikalau pihak KMPP turut mencadangkan agar barisan nasional Pulau Pinang turut melakukan amalan yang sama walaupun mereka bukan kerajaan yang memerintah. Dari segi geo politik barisan nasional negeri ini tidak dapat dinafikan hanya parti UMNO sahaja mempunyai 11 kerusi DUN. Bagi tujuan mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat di negeri ini terutamanya orang-orang Melayu negeri ini, mengapa tidak pihak ADUN UMNO berkenaan turut mengistiharkan asset mereka supaya ketelusan mereka berbuat demikian setidak - tidaknya sedikit sebanyak bakal mendatangkan kebangkitan sokongan kepada barisan nasional negeri ini. Pandangan ini adalah ikhlas dari pihak KMPP dan harus dipandang secara rasional serta serius.

Pada masa yang sama pemimpin-pemimpin UMNO negeri ini adalah disaran agar tidak berselisih faham sesama mereka dalam menentukan calon yang layak untuk bertanding pada PRU nanti. Berilah peluang kepada calon muka baru yang berkelayakan dimana mereka ini adalah “Winnable candidate”. Pemimpin-pemimpin veteran yang ada sekarang harus mengundur diri supaya tiada unsur tikam dari belakang yang bakal memecah belahkan kredibiliti parti UMNO itu sendiri.

Sejarah telah membuktikan bagaimana 4 kerusi UMNO di negeri ini telah dirampas oleh Pakatan Rakyat dan beberapa kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU 2008 dimana majoritinya adalah dibawah 500 undi. Ini semua terjadi atas angkara sabotaj oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Pada PRU yang ke 13 ini tidak salah dan tanpa prasangka jika dikatakan atas usaha kuat Pakatan Rakyat terutama sekali jika wujudnya calon DAP Melayu yang bakal bertanding dikawasan kubu kuat UMNO adalah dikhuatiri suatu anjakan paradigma politik akan berlaku. Jika teori ini menjadi kenyataan maka adalah dikhuatiri parti UMNO di negeri ini akan terus mengalami defisit kerusi DUN. Dalam dunia politik kejutan sejarah akan tercipta tanpa diduga. Senario politik dahulu dan sekarang amat bebrbeza.

Rakyat khususnya orang-orang Melayu di negeri ini sudah bijak memilih diantara kaca dan permata dimana mereka mesti berpaut kepada kerajaan yang benar-benar memberikan keutamaan kebajikan terhadap rakyat. Sesungguhnya undi rakyat pada pilihanraya umum nanti lebih menjurus kepada keprihatinan kerajaan menjamin poket eekonomi rakyat terlebih dahulu. Habuan dari segi wang ringgit jangka pendek bukan lagi menjadi pilhan. Itulah realiti sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan