Selasa, 25 Oktober 2011

ISU ANAK KETUA MENTERI – KMPP TOLAK POLITIK PORNO


Semakin hampir suasana menjelangnya pilihanraya umum ke-13 maka semakin ketara permainan politik khususnya politik melayu yang gemar serta menidakkan soal akidah sebagai seorang Islam. Terbaru sepertimana yang diketahui isu pelajar sekolah menengah dijadikan ilham politik mereka bagi menjatuhkan kerjaya politik ayah kepada pelajar berkenaan yang satu ketika dahulu pernah memperjuangkan martabat seorang gadis melayu dibawah umur. Setakat ini daripada apa yang diketahui umum bahawa perbuatan keji serta menjijikkan itu memang dilakukan oleh pemimpin politik melayu. Situasi sebegini sengaja dirancang dengan niat untuk menarik perhatian rakyat menjelang pilihanraya umum nanti. Natijahnya, taktik sebegitu bakal mengundang kepada musibah sokongan oleh pengundi terutamanya orang-orang melayu kepada pemimpin atau parti politik terbabit. Jika taktik sedemikian terus dipraktikkan tanpa sekatan, ianya bakal merugikan orang-orang melayu.

KMPP berpandangan insiden yang berlaku keatas anak Ketua Menteri Pulau Pinang tersebut adalah satu lagi taktik kotor yang terdesak tanpa mengambil kira nilai-nilai Islam demi untuk mengekalkan kuasa politik semata-mata. Mulanya isu tersebut adalah melalui penulis blog yang setakat hari ini dikategorikan sebagai menfitnah anak Ketua Menteri Pulau Pinang yang dikatakan telah meraba buah dada seorang pelajar perempuan dan bagi menutup kes berkenaan Ketua Menteri telah memberi ganjaran RM200,000.00 kepada keluarga pelajar perempuan terbabit. Maka tercetuslah satu fanomena baru mainan politik mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini demi untuk melenyapkan karier politik seorang pemimpin kaum cina berkenaan.

Menyelami kes ini sebagai serius kerana melibatkan keharmonian rakyat yang berbilang kaum di negara ini, maka pihak kami menilai permainan politik tersebut sebagai “Desperado Politicking” semata-mata kerana kuasa politik. Dari pandangan kacamata parti-parti politik memanglah akan menuduh sesama sendiri. Pakatan Rakyat akan menuduh Barisan Nasional terutamanya UMNO begitu jugalah pihak UMNO akan menuding jari kepada pihak lain. Hakikatnya satu pemantauan yang serius dan efektif harus dibuat lebih-lebih lagi disebelah pihak UMNO kerana mereka telah dituduh sebagai “mastermind”. Dalam konteks ini rakyat terutamanya orang-orang melayu perlu diyakini bahawa politik porno atau lucah sebegini bukanlah falsafah perjuangan pemimpin-pemimpin melayu di Malaysia. Sebagai sebuah NGO melayu yang bertapak di Pulau Pinang serta neutral, pihak KMPP melahirkan rasa yang amat dukacita lagi terhina sekiranya benar isu tersebut dimainkan oleh pemimpin politik melayu. Tidak kira samaada pemimpin-pemimpin ini datangnya dari parti politik melayu manapun jangan sampai meletakkan martabat kemelayuan diperingkat yang terendah. Janganlah sampai kuasa politik melayu ditolak oleh orang melayu sendiri diatas kesilapan yang berlandaskan ketamakkan kuasa.

Sesungguhnya orang-orang melayu sudah muak dan letih dengan permainan politik sebegini. Bagaimana soal sosial ekonomi orang-orang melayu dapat dipertingkatkan jika sesama pemimpin melayu lebih gemar bermain politik. Tambah menyedihkan dalam isu ini jika benar pemimpin melayu menjadi dalang terhadap fitnah keatas seorang pemimpin kaum cina, maka ianya bakal menjadi satu liabiliti politik yang merugikan orang-orang melayu menjelang pilihanraya nanti. Oleh yang demikian, amatlah diharapkan belum terlewat lagi isu tersebut dapat diredakan dalam situasi yang harmoni.

Pada masa yang sama pihak KMPP mendesak Y.A.B Ketua Menteri dalam situasi yang relevan membuat laporan polis bagi menyiasat perkara tersebut terutamanya keatas penulis blog terbabit. Diharapkan Polis Diraja Malaysia dapat mengambil tindakan untuk menyiasat tanpa membeza-bezakan individu-individu yang terlibat. Rakyat khususnya orang-orang melayu di Pulau Pinang perlu ketahui perkara sebenarnya yang berlaku. Perbuatan politik murahan secara membaling batu sembunyi tangan ini tidak boleh diterima sama sekali. Secara keseluruhan, pihak UMNO harus membuktikan beban kebarangkalian sepertimana yang dituduh oleh pihak lain dan justeru itu pihak KMPP mencabar parti UMNO yang dikatakan menjadi tunjang kepada orang-orang melayu tampil bagi membuktikan segala tuduhan berkenaan adalah tidak berasas sama sekali. Tindakan ini amat perlu dan rasional serta relevan bagi menjaga imej parti UMNO sendiri. Sekiranya gagal berbuat demikian UMNO akan menyesal di dalam pilihanraya ke-13 nanti kerana Barisan Nasional tidak akan mendapat sokongan bukan sahaja dari kaum-kaum lain malahan daripada kaum melayu itu sendiri.

Rabu, 12 Oktober 2011

BELANJAWAN KALI KE 54 BAGI TAHUN 2011


Lanjutan dari belanjawan kali ke 54 bagi tahun 2012 yang diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri pada 6hb Oktober 2011 secara keseluruhannya membabitkan sejumlah RM232.8 Billion. Perdana Menteri turut mengumumkan Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan oleh kearah menjayakan cita–cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020. Justeru itu maka belanjawan tersebut bertemakan “Dasar Transformasi Nasional Yakni Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara”.

Bagi lebih menyakinkan kononnya belanjawan kali ini cuba memberi keselesaan kepada setiap lapisan rakyat daripada golongan–golongan Pemandu Teksi, Nelayan, Warga Emas, Pejawat Awam, Pesara, Golongan wanita, belia hinggalah kepada kalangan Kontraktor dan pelabur serta yang terpenting Peneroka Felda. Dalam ucapannya beliau memaklumkan bahawa Pelaburan Swasta dan Awam dijangka meningkat. Secara puratanya belanjawan 2012 menyediakan peruntukan RM181.6 Billion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 Billion untuk perbelanjaan pembangunan.

Pihak KMPP berpandangan jika berpaksikan DTN maka soal kebajikan rakyat lebih-lebih lagi mereka yang menyumbang kearah menjana ekonomi negara harus diberikan keutamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa secara praktikalnya bajet tahun 2012 tersebut adalah untuk rakyat yang merangkumi semua kategori. Namun hakikatnya terdapat kecacatan yang boleh dikategorikan sebagai berat sebelah apabila pihak kerajaan hanya menitik beratkan kakitangan awam daripada kakitangan swasta. Presiden cuepacs begitu teruja apabila hampir 80% tuntutan mereka dipersetujui oleh kerajaan. Sejumlah 1.3 juta pejawat awam akan menikmati bayaran bonus, kenaikan gaji, umur pesaraan wajib ke 60 tahun, serta lnsentif untuk melanjutkan pelajaran. Namun pada hakikatnya Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) meluahkan rasa kecewa setelah pengumuman yang ditunggu tunggu selama ini iaitu mengenai gaji minima sektor swasta tidak disentuh langsung didalam bajet tersebut. Hanya sedikit tempias yang dapat mereka perolehi ialah caruman (KWSP) dinaikkan ke 13 % kepada mereka yang menerima gaji bulanan  RM5000.00 dan ke bawah. Namun skim persaraan swasta (SPS) masih menjadi teka teki bilakah ianya akam diumumkan. Begitu juga dengan bayaran elaun sara hidup (COLA) yang pada masa ini dibayar kepada kakitangan awam juga tidak dinikmati oleh pekerja swasta. Perjuangan pihak MTUC bagi mendapatkan gaji minima RM900.00 yang difikirkan mengikut keadaan sekarang adalah relevan memandangkan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.     

Sebagai NGO Melayu yang Neutral pihak saya berasa hairan apakah sebab kerana 1.3 juta kakitangan awam tersebut yang majorititnya orang Melayu maka golongan ini diberi keutamaan dan sedangkan ramai orang Melayu juga terlibat di sektor swasta dan mengapakah mereka diabaikan? Bagaimana pula dengan mereka yang bukan Melayu disektor swasta dan perlukan dalam isu ini mereka mereka ini dianaktirikan. Sama ada sektor awam mahupun swasta mereka juga bertanggungjawab untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara dan oleh itu pihak KMPP berpendapat pelaburan swasta dan awam akan sedikit terencat jika tidak ada keseimbangan dari segi kebajikan yang di jadikan keutamaan oleh pihak kerajaan. Kenyataan kekecewaan oleh pemimpin MTUC haruslah dipandang serius dan diharap kerajaan dapat mengkaji semula tuntutan mereka lebih lagi soal gaji minima tersebut. Pihak kerajaan perlu sedar bahawa segala tuntutan dari pihak MTUC jika diluluskan tidak langsung memerlukan sumber kewangan dari kerajaan. Jadi mengapa mesti ada pertimbangan berat sebelah dalam hal ini.

Timbul tanda tanya apakah kewujudan cuepacs dan MTUC ini yang mempunyai tanggungjawab terhadap ahli-ahli mereka terutamanya soal kebajikan di mana resolusi mereka apabila diketengahkan untuk tujuan penambahbaikkan kepada pihak kerajaan, maka pihak kerajaan hanya akan memihak kepada kakitangan awam sahaja? Dan apakah rasionalnya? Situasi ini dipandang sebagai tidak sihat kepada ekonomi negara kita. Oleh yang demikian pihak KMPP berharap supaya bajet rakyat berkenaan adalah untuk rakyat dan perlu dipastikan saluran pengagihan sumber bajet belanjawan tersebut bebas daripada unsur rasuah serta unsur kronisma. Sesungguhnya bajet 2012 adalah bagi meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap Kerajaan.

Khamis, 6 Oktober 2011

ISU PELUPUSAN SAMPAH DI PULAU BURUNG

Pihak KMPP memandang serius tentang insiden yang berlaku akibat peresapan air larut lesap (Leachate) yang semakin kritikal meresap ke air laut akibat aktiviti pelupusan sampah di Pulau Pinang yang amat menyedihkan. Jika situasi tersebut berlarutan, punca pendapatan nelayan terutamanya dari golongan majoritinya orang-orang melayu Pulau Pinang akan terjejas.
Air larut lesap boleh didefinasikan sebagai cecair tertapis yang telah melalui pelbagai sisa pepejal dan mengandungi bahan sisa terlarut dan terampai. Ianya juga disebut sebagai kuras yang terbentuk apabila air hujan yang terkumpul dalam tambak tanah, lubang, kolam dan lagun telah bercampur dengan bahan-bahan sisa di tempat pelupusan sampah dalam suatu tempoh yang panjang dan telah terturas sebahagian daripada konstituen kimia serta biokimianya.
Air larut resap dari tapak perlupusan bahan sisa buangan pepejal lazimnya mengandungi logam berat, bahan organik yang terbentuk daripada pelbagai peringkat penguraian dan bahan bukan organik seperti ammonia, sulfat, kation logam.
Pihak kami difahamkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai, (MPSP) sudah menyenarai pendek kontraktor bagi mengendali tapak pelupusan sampah di Pulau Burong. Amatlah besar harapan kami dalam usaha Kerajaan Negeri membantu rakyat serta slogan “Cekap, Akauntabiliti dan Telus” (CAT) dengan melantik kontraktor yang berwibawa dan cekap serta mempunyai pengalaman yang luas. Ini adalah kerana sampai hari ini,pihak kontraktor yang sedang beroperasi ini telah gagal menjaga dan merawat air sampah secara total.
Kami masih mendapat aduan daripada nelayan pantai yang kebanyakkan daripada mereka adalah orang-orang melayu dimana pencemaran air ini telah berlaku. Hasil pendapatan mereka ini semakin merosot dengan teruknya dan hasrat KMPP untuk melihat nasib orang-orang Melayu Pulau Pinang dari kumpulan nelayan pantai akan terbela hanya tinggal harapan sahaja.
Harapan kami pada Kerajaan Negeri  ialah memilih dan melantik kontraktor yang cekap dan berpengalaman luas di dalam bidang pengurusan sampah terutama sekali merawat isu air larut lesap terlebih dahulu sebelum menjalankan operasi pelupusan sampah. Pihak kontraktor perlu memastikan air larut lesap selamat dilepaskan ke persekitaran dimana kretiria berikut perlu dipenuhi iaitu:-
  1. Air larut lesap tidak mengandungi kepekatan bahan organik, bahan bukan organik seperti ammonia dan logam berat yang tinggi.
  2. Air larut lesap tersebut tidak akan bertoksik ke atas organisma di dalam ekosistem perairan di Pulau Pinang.