Pihak
saya menyambut kenyataan serta kritikan Ketua Pembangkang Dato Azhar Ibrahim
dengan penuh kesyukuran kerana kenyataan beliau secara tidak langsung telah membuktikan
bahawa pihak UMNO Negeri Pulau Pinang lebih suka berpolitik daripada merenung
nasib orang-orang Melayu disini selepas Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.
Perlu
pihak saya tegaskan bahawa kewujudan KMPP semenjak 16/2/2011 adalah diatas
usaha anak-anak muda yang merupakan golongan intelektual dan professional
dengan niat murni untuk membantu orang-orang Melayu Pulau Pinang terutamanya
melibatkan soal sosial ekonomi. Idea penubuhannya atas nama “Kongres” telah
mengambil masa selama 8 bulan bagi mendapatkan kelulusan daripada pihak ROS.
Kami berdiri diatas kaki sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak. Jauh
sekali daripada parti-parti politik melayu mahupun parti DAP yang sepertimana
dituduh oleh beliau. Malah hingga kini pihak kami tiada kaitan dengan mana-mana
pihak serta tidak rela menjadi boneka kepada sesiapapun. Pihak kami bebas
bersuara dalam situasi yang munasabah jika ada pihak cuba memperlekehkan maruah
serta hak-hak Melayu di negeri ini termasuk pihak UMNO.
Adalah
amat mendukacitakan sekali apabila usaha murni pihak KMPP yang berhasrat
mendesak minimum 5 kerusi melayu daripada parti DAP telah disalahtafsirkan oleh
pihak UMNO negeri. Desakan tersebut dibuat atas dasar kritikal setelah
mengambilkira senario politik di negeri ini. Persoalannya ialah UMNO masih
relevan lagi tapi terpaksa akur dengan tahap kecergasan rakan-rakan lain di
dalam Barisan Nasioanl Negeri. Adakah pihak UMNO akan bertanggungjawab
sekiranya orang-orang Melayu disini hilang kuasa politik mereka? Sepatutnya
beliau seorang yang veteran harus berbincang dengan pihak kami tentang desakan
pihak KMPP lakukan demi mencari formula terbaik sebagai langkah pencegahan demi
kekuatan politik Melayu di negeri ini. Sebaliknya beliau lebih suka bermain
politik serta rela melihat orang-orang Melayu turut tersungkur jika sekiranya
UMNO tidak berkuasa di negeri ini.
Apa
yang berlaku ialah pihak KMPP dilabelkan sebagai “tali barut DAP” kerana ingin
mempertahankan kekuatan politik Melayu disini. Saya berpendapat tuduhan
berkenaan sangat serius serta melepasi garisan keraguan yang munasabah.
Orang-orang Melayu disini dapat menilai sendiri bagaimana seorang Pemimpin
Kanan UMNO yang juga Ketua Pembangkang mengeluarkan kata-kata sedemikian
terhadap anak bangsanya sendiri yang cuba mempertahankan kekuatan politik
orang-orang Melayu di negeri ini. Pihak saya dengan ikhlas menasihatkan beliau
supaya berehat sepenuhnya dari dunia politik. Lebih berfaedah menatap wajah
cucu-cucu yang sedang membesar daripada membuang masa memberikan kenyataan
secara membabi buta yang akhirnya mengelirukan orang-orang Melayu di negeri
ini.
Sama
ada pihak PKR masih relevan atau sebaliknya itu bukanlah masalah KMPP mahupun
pihak UMNO sendiri. Kita harus memberi perhatian kepada anak sendiri daripada
menjaga tepi kain orang lain. Secara logiknya pihak KMPP mencabar UMNO Negeri
Pulau Pinang supaya dapat menyelesaikan masalah ekonomi yang berpanjangan yang
dihadapi oleh peniaga-peniaga di Bazar Perdana, Bandar Perda, Bukit
Mertajam (yang mengandungi hampir 1,000 unit). Sijil penghunian telah
diperolehi semenjak tahun 2004 tetapi sehingga sekarang pembeli unit bazaar ini
masih belum menikmati satu (1) sen
pun hasil dari perniagaan mereka. Kenapa pihak pemaju berkenaan yang juga
diterajui oleh salah seorang Pemimpin Kanan UMNO Negeri gagal menguruskan
bazaar tersebut. Mengapa tidak “strata title” dipohon dan jangan lupa
kebanyakkan dari pembeli-pembeli berkenaan adalah orang-orang Melayu di kawasan
Bukit Mertajam. Tolong selesaikan masalah mereka sebelum layak bercakap soal
ekonomi orang-orang melayu disini. Jangan sampai pihak Kerajaan Negeri campur
tangan dan menyelesaikan liabiliti yang ditinggalkan oleh pemimpin UMNO disitu.
Pihak
KMPP amat mengalu-alukan perlawaan beliau supaya pihak kami bertanding di
kawasan UMNO kelak namum beliau harus faham bahawa KMPP adalah NGO Melayu dan
bukannya parti politik. Walaubagaimanapun saya merasakan pengundi-pengundi
melayu sekarang lebih bijak menggunakan kuasa mereka serta matang untuk
membezakan antara kaca dan permata. Jika ini berlaku kemungkinan pihak UMNO
akan kehilangan sebilangan kerusi yang ada sekarang.
Pihak
KMPP secara rasional berpandangan bahawa sudah sampai masanya UMNO negeri ini
melakukan transformasi bagi memberi peluang kepada golongan pelapis muda yang
layak serta professional bagi menerajui bahagian masing-masing. Situasi
tersebut dilihat boleh mendatangkan kebangkitan sokongan dari orang-orang
Melayu terhadap UMNO negeri ini. Saya penuh yakin bahawa ramai orang-orang
melayu Pulau Pinang bersetuju dengan cadangan pihak KMPP ini.
Bagi
kenyataan Dato’ Seri Zahrain Hashim bahawa perjuangan bakal-bakal calon Melayu
DAP bukanlah untuk orang-orang Melayu amat keterlaluan. Gambaran awal dari
beliau seolah-oleh Melayu DAP akan menjadi boneka atau “pak turut” hanya
membuatkan orang-orang Melayu disini mentertawakan beliau. Beliau hanya layak
menjadi tukang tilik untuk diri sendiri sebelum membuat kenyataan dan ramalan
ke atas orang lain. Rakyat negeri ini tidak akan lupa mengenai kebijaksanaan
beliau menang lebih dari 13,000 undi di Parlimen Bayan Baru dan bagaimana
beliau menggunakan kuasa vitonya dengan mengenepikan amalan demokrasi
mengistiharkan dirinya sebagai wakil bebas. Bagaimana dan mengapa situasi
tersebut berlaku, tepuk dada tanyalah selera. Pihak KMPP amat tertarik untuk
melihat tentang status beliau selepas PRU Ke-13 nanti. Semoga beliau akan terus
mendapat kepercayaan pengundi di Parlimen Bayan Baru nanti. Mungkinkah nanti
beliau akan ditentang oleh calon Melayu dari DAP? Segala kemungkinan boleh
berlaku.
Akhir
sekali pihak saya yang kerdil ini insaf dan sedar siapakah diri kami. Kami
wujud melalui KMPP adalah semata-mata memperjuangkan kekuatan politik serta
sosial ekonomi orang-orang Melayu Pulau Pinang dengan berteraskan revolusi
mental dengan cara bermuzakarah. Pihak kami tidak akan berkompromi dengan
mana-mana pihak apatah lagi menjadi boneka jika sekiranya hak-hak melayu disini
diperlekehkan. Kami berkeyakinan suatu hari nanti suara KMPP akan lebih
bertenaga daripada parti-parti politik Melayu di negeri ini.